BUKIT MERTAJAM - Bagi memberi kesedaran kepada warga kerja yang menggunakan motosikal mengenai kepentingan pencegahan kemalangan dalam perjalanan semasa pergi dan balik kerja, Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang menganjurkan Kempen Keselamatan dan Pemanduan Selamat 2018, baru-baru ini.
Program yang mendapat kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) merupakan satu inisiatif KPJ Pulau Pinang memberi kesedaran kepada warga kerja yang menaiki motosikal dan mengurangkan kemalangan motosikal dalam kalangan anggota pekerja.
Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Pulau Pinang, Zabidi Abdul Razak berkata, pelancaran kempen ini merupakan satu program yang diwujudkan khas untuk semua anggota pekerja KPJ Pulau Pinang yang menunggang motosikal.
Menurutnya, pada tahun lalu terdapat dua anggota pekerja KPJ Pulau Pinang yang mengalami kemalangan motosikal ketika datang dan balik kerja, manakala pada tahun ini setakat Jun 2018, jumlah tersebut meningkat kepada tiga orang.
“Difahamkan antara punca-punca kemalangan yang dikenal pasti seperti pengurusan masa, sikap penunggang dan juga pemakaian pakaian yang samar atau tidak jelas semasa menunggang motosikal.
“KPJ Pulai Pinang merasakan amat perlu program seperti ini dilaksanakan demi memberi kesedaran kepada anggota pekerja berkenaan keselamatan jalan raya,” katanya ketika ditemui di sini selepas pelancaran program berkenaan, baru-baru ini.
Zabidi berkata, seramai 60 warga kerja dipilih menjalani latihan pemanduan selamat bagi peringkat pertama dengan kerjasama Perkeso dan Miros.
Katanya, antara latihan yang diberikan termasuklah pengenalpastian bahaya dan risiko sepanjang perjalanan pergi dan balik kerja, pemeriksaan asas motosikal, demonstrasi pengendalian dan pemanduan selamat motosikal dan panduan asas berkenaan keselamatan jalan raya.
Dalam majlis itu, KPJ Pulau Pinang juga menyumbangkan jaket keselamatan kepada semua warga kerja yang menggunakan motosikal untuk ke tempat kerja.
Selain itu, Perkeso juga menyumbangkan 60 topi keledar kepada semua peserta yang terlibat dalam program ini.
“Kita berharap budaya pemanduan selamat khususnya kepada keselamatan perjalanan pergi dan balik kerja penunggang motosikal dapat dipertingkatkan di kalangan seluruh warga pekerja yang merupakan aset berharga kepada KPJ Pulau Pinang sebagai hospital bertaraf dunia di kawasan utara semenanjung,” katanya.
|