Membaca tak kira di mana |
Bagi menyemai semangat suka membaca di kalangan kanak-kanak |
2013-02-27 |
Bagi menyemai semangat suka membaca di kalangan kanak-kanak walau di mana saja mereka berada, Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri mengambil inisiatif menyediakan sudut bacaan baru di ruang permainan wad pediatriknya. Menyajikan suasana ruang bacaan yang cukup santai dan menarik, ia diharapkan mampu mencambah minat kanak-kanak untuk membaca.
Malah, ia juga memberi peluang kepada kanak-kanak yang mengikuti rawatan meluangkan masa mereka ke arah perkara lebih positif selain menonton televisyen.
Noor Haslina berkata, tidak dinafikan kanak-kanak kini agak kurang berminat untuk membaca yang mungkin disebabkan pelbagai pengaruh teknologi serta kemudahan gajet masa kini. Tetapi ia tidak semestinya menjadi satu bentuk halangan kerana bahan bacaan mudah diperoleh sama ada di pasaran atau secara dalam talian. Ia juga boleh menjadi satu bentuk terapi pemulihan kepada kanak-kanak berkenaan bagi menghilangkan kebosanan terutama bagi mereka yang mendapatkan rawatan di wad. “Melalui pembacaan, kanak-kanak ini mampu meluaskan daya pemikiran mereka walaupun buku yang dibaca itu hanyalah komik. “Namun, ibu bapa perlu memantau kerana untuk peringkat awal tumbesaran kanak-kanak, bahan bacaan disajikan perlulah sesuatu yang boleh memberi panduan untuk menjalani hidup dengan lebih sempurna bukan sebaliknya,†katanya. Bagi menambah keceriaan, pelancaran sudut bacaan Bacalah Sayang mendapat kerjasama syarikat penerbitan Nyla Sdn Bhd (Nyla) yang mengedarkan komik siri animasi Upin Ipin. Demi menarik lebih minat kanak-kanak, sudut berkenaan dihiasi karakter siri animasi berkenaan lengkap dengan rak buku yang dipenuhi koleksi buku dan komik Upin Ipin. Sebagai permulaan, terdapat 1,000 bahan bacaan pelbagai jenis yang dipenuhi unsur nasihat dan pendidikan serta diyakini mampu membuatkan kanak-kanak lebih terhibur. Untuk menjadikan sudut bacaan berkenaan lebih interaktif, pelbagai aktiviti menarik disediakan antaranya sesi membaca bersama dan bercerita. Hadir sama Pengarah Eksekutif Nyla, Tunku Maziah Tunku Mukhtar dan Pengerusinya, Kushairy Abd Ghani. Lebih 200 pengunjung kanak-kanak termasuk ibu bapa mereka menghadiri majlis pelancaran sudut bacaan terbabit. Ia turut diserikan kehadiran maskot Upin Ipin yang menggamatkan suasana di wad pediatrik berkenaan. Sementara itu, bagi pasangan Noor Hafifi Osman, 32, dan isteri, Nur Hafiza Mohd Kasim, 28, kewujudan sudut bacaan berkenaan satu perkara baru yang memberikan impak positif kepada kanak-kanak. Bukan saja mereka boleh bermain tetapi pada masa sama mendapatkan pelbagai pengajaran berguna melalui aktiviti pembacaan. Noor Hafifi berkata, bahan bacaan disediakan juga amat menarik kerana menggunakan karakter yang menjadi daya penarik kepada si kecil. “Populariti siri animasi itu cukup dekat dengan kanak-kanak. Walaupun ia sekadar cerita animasi, penceritaan watak dalam siri itu adalah aktiviti harian yang dilakukan kanak-kanak, seolah-olah mencontohi ‘diri sebenar’ kanak-kanak,†katanya. |