Karnival Tanjung Leman usaha Jcorp promosi pusat peranginan |
Johor Corporation (JCorp) menerusi syarikat di dalam kumpulannya, Johor Land Bhd. menganjurkan Karnival Tanjung Leman kali keempat |
2013-07-04 |
Johor Corporation (JCorp) menerusi syarikat di dalam kumpulannya, Johor Land Bhd. menganjurkan Karnival Tanjung Leman kali keempat bertempat di pantai Tanjung Leman, Mersing bermula kelmarin. Karnival yang bakal menutup tirai esok dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Johor, Pejabat Daerah Mersing, Majlis Daerah Mersing, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia. Selain itu, Jabatan Laut, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Persatuan Nelayan, Lembaga Kemajuan Perikanan Malaysia (LKIM), Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Felda dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) turut memberi kerjasama. Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, penganjuran karnival tersebut merupakan usaha JCorp untuk terus mempromosikan Tanjung Leman sebagai pusat peranginan serta destinasi pelancongan di negeri ini. "Pada masa sama, turut memperkenalkan Jeti Tanjung Leman sebagai pintu masuk ke pulau-pulau peranginan serta resort menarik berhampiran kawasan ini seperti Pulau Sibu Besar, Pulau Tinggi dan Sibu Island Resort. "Pameran dan jualan melibatkan syarikat seperti Kulim (Malaysia) Bhd. dan KPJ Healthcare Bhd. juga akan turut diadakan sepanjang program itu berlangsung," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan, di sini baru-baru ini. Beliau berkata, karnival itu juga mampu menjadi platform kepada JCorp untuk memperkenalkan pembangunan jangka panjang kawasan Tanjung Leman sebagai bandar resort yang termasuk di dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
|