KPJ Healthcare Berhad

A leader in Malaysia's challenging healthcare services industry

News Detail:

KPJ HEALTHCARE YAKIN MAMPU RAIH LEBIH RM1B

Utusan Malaysia - JOHOR BAHRU 1 Dis. – KPJ Healthcare Bhd. (KPJ Healthcare), penyedia penjagaan kesihatan terbesar negara yakin mengekalkan pendapatan melebihi RM1 bilion bagi tahun kewangan 2008 wa

01-12-2008

JOHOR BAHRU 1 Dis. – KPJ Healthcare Bhd. (KPJ Healthcare), penyedia penjagaan kesihatan terbesar negara yakin mengekalkan pendapatan melebihi RM1 bilion bagi tahun kewangan 2008 walaupun berdepan dengan krisis kewangan global.

Pengerusinya, Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata, keputusan tersebut bakal mengulangi pencapaian paling cemerlang dalam sejarah 27 tahun kumpulan itu yang dicapai pada tahun lalu.

Katanya: “Tahun ini, kami menjangkakan pendapatan syarikat akan meningkat lagi. Keyakinan kami berdasarkan penambahan hospital baru seperti di Taiping, Perak pada tahun lalu dan di Kluang, Johor pada tahun ini yang tidak diambil kira pada tahun 2007,’’

“Walaupun terdapat kelembapan ekonomi ketika ini, kami yakin penjagaan kesihatan merupakan satu industri yang cukup penting dan masyarakat akan terus berbelanja pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Perubatan Tahunan Kali Kelapan KPJ Healthcare di sini, hari ini. Turut hadir, Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Datin Siti Sa‘adiah Sheikh Bakir.

Tahun lalu, anak syarikat Johor Corporation (JCorp.) mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 33 peratus kepada RM1.108 bilion berbanding RM831.5 juta pada 2006.

Pada masa ini, KPJ Healthcare mengendalikan 25 hospital yang mana 19 hospital terletak di negara ini manakala tiga lagi di Indonesia, dua di Jeddah, Arab Saudi dan satu di Dhaka, Bangladesh.

Muhammad Ali berkata, KPJ Healthcare turut bercadang membuka dua hospital pada tahun depan dalam usaha mengembangkan lagi pembabitan syarikat itu dalam bidang pelaburan hartanah.

Jelasnya, lokasi hospital berkenaan ialah di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang kini dalam proses akhir kerja-kerja pembinaannya.

“Hospital Pakar KPJ Penang yang terletak di Seberang Perai dijangka mula beroperasi pada Mac depan manakala Hospital Pakar Tawakal di Kuala Lumpur pula selewat-lewatnya pertengahan tahun depan.

“Jumlah pelaburan bagi kedua-dua hospital ini mencecah RM200 juta dan ia diramal mampu membawa perubahan besar kepada kumpulan menerusi tahap kualiti tinggi berdasarkan pembinaannya bukan lagi di rumah kedai,” katanya.
Beliau berkata, pembinaan hospital-hospital baru itu dibiayai oleh Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) Al-Aqar KPJ (REIT Al-Aqar) agar pelaburan yang dilakukan syarikat dapat ditebus kembali dengan cepat.

Katanya, REIT Al-Aqar bakal melepasi sasaran saiz keseluruhan aset bernilai RM1 bilion tidak lama lagi melalui pembelian aset daripada KPJ Healthcare.

Al-Aqar merupakan REIT Penjagaan Kesihatan Islam pertama di Malaysia dan juga merupakan satu daripada dua REIT Islam di negara ini.



BACK