KPJ Healthcare Berhad

A leader in Malaysia's challenging healthcare services industry

News Detail:

AL-AQAR KPJ REIT RANCANG TEROKA ASIA BARAT

Berita Harian - AL-'AQAR KPJ Reit, dana amanah hartanah (Reit) berlandaskan Syariah senaraian awam pertama di dunia dan Reit penjagaan kesihatan pertama di Asia Pasifik.

14-01-2009

AL-'AQAR KPJ Reit, dana amanah hartanah (Reit) berlandaskan Syariah senaraian awam pertama di dunia dan Reit penjagaan kesihatan pertama di Asia Pasifik, merancang menerokai pasaran Asia Barat menerusi pembiayaan bersindiket Ijarah Muntahiah Bitamlik bernilai RM250 juta yang diperolehnya.

Pengarah Damansara Reit Managers Sdn Bhd iaitu pengurus Al-'Aqar KPJ Reit, Datin Paduka Siti Sa'diah Sheikh Bakir, berkata kemudahan Ijarah bersindiket itu meletakkan satu lagi tanda aras dalam industri Reit kerana ia adalah kemudahan pembiayaan mematuhi Syariah pertama yang menepati standard Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Malaysia.

"Ini akan menjadi batu loncatan kepada kepada Al-'Aqar KPJ Reit untuk menembusi pasaran Asia Barat," katanya pada sidang media selepas majlis memeterai perjanjian pembiayaan bersindiket Ijarah Muntahiah Bitamlik itu.

Aminvestment Bank Bhd dan Kuwait Finance House (Malaysia) Bhd (KFH) bertindak sebagai pengatur utama bersama melaksanakan pembiayaan bersindiket Ijarah Muntahiah Bitamlik itu.

Dana daripada kemudahan pembiayaan itu akan digunakan Al-'Aqar KPJ Reit bagi membiayai sebahagian pembelian sembilan hartanah bernilai RM383 juta.

Pada majlis itu, AmInvestment diwakili Pengarah Urusannya, TC Kok manakala KFH oleh Ketua Bahagian Korporat dan Perbankan Pelaburannya, Annis Sheikh Mohamed.

Ia disaksikan Timbalan Pengerusi AMMB Holdings Bhd, Datuk Azlan Hashim; Pengarah Urusan KFH, Datuk K Salman Younis dan Pengarah Eksekutif Damansara Reit Managers, Yusaini Sidek.

Siti Sa'diah berkata, pembelian sembilan hartanah itu adalah yang ketiga bagi dana amanah hartanah penjagaan kesihatan itu.

Katanya. Al-'Aqar KPJ Reit telah menyatakan hasratnya pada Ogos tahun lalu untuk meluaskan portfolionya menerusi pembelian hartanah berkenaan yang merangkumi tujuh hospital, serta masing-masing sebuah hotel dan menara pejabat.
Katanya, hartanah berkenaan adalah Hospital Pakar Seremban, Pusat Perubatan Taiping, Hospital Pakar Kota Kinabalu, Hospital Pakar Bukit Mertajam, Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang, Hospital Tawakal Kuala Lumpur dan Hospital Pakar Tawakal KPJ.



BACK