JOHOR BAHRU - KPJ Healthcare Bhd., bercadang membina sebuah hospital baru bernilai lebih RM1 juta di Bandar Dato' Onn, di sini bagi menyediakan rawatan terbaik kepada rakyat.
Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim (gambar) berkata, hospital moden dengan kemudahan dan peralatan canggih berkenaan akan dilengkapi antara 250 hingga 300 katil apabila siap kelak.
"Pada waktu ini, syarikat sedang dalam proses berbincang dengan syarikat, Johor Land Bhd. (JLand) bagi tujuan berkenaan," katanya pada sidang akhbar mengumumkan prestasi kewangan JCorp di sini semalam.
Turut hadir Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Datin Paduka Siti Sa'diah Sheikh Bakir.
KPJ Healthcare merupakan sebuah syarikat di bawah Kumpulan JCorp yang menceburi perniagaan perubatan dan kini mengendalikan sebanyak 19 hospital di seluruh negara.
Muhammad Ali memberitahu, penubuhan hospital berkenaan juga perlu mendapat kelulusan kerajaan terlebih dahulu sebelum dilaksanakan.
Sementara itu, beliau berkata, pencapaian KPJ Healthcare terus memberangsangkan apabila meraih keuntungan sebelum cukai melebihi RM1 bilion selama dua tahun berturut-turut.
Beliau berkata, kegawatan ekonomi global yang turut dirasai negara tidak menjejaskan prestasi syarikat termasuk jumlah pesakit dan orang ramai yang menerima rawatan di hospital-hospital di bawah KPJ Healthcare. "Secara keseluruhan, hospital-hospital mencatatkan pertambahan jumlah pesakit dari dalam dan luar negara sebanyak lima peratus pada suku tahun pertama tahun ini," katanya.
Menurutnya, pesakit antarabangsa kebanyakannya dari Indonesia, Korea Selatan, Jepun, Somalia dan Singapura. Dalam pada itu, beliau berkata, JCorp melalui Waqaf An-Nur Corporation Berhad menubuhkan Briged Waqaf sebagai sebuah pasukan bantuan bencana dan kebajikan.
Muhammad Ali berkata, pasukan berkenaan yang dianggotai syarikat-syarikat di bawah JCorp memberi perkhidmatan mencari, menyelamat dan sukarelawan kepada masyarakat.
"Antaranya, pasukan itu telah siap membina sebuah rumah warga tua di Kampung Sungai Redan, Ulu Tiram pada 15 Disember lalu," jelasnya.
|