KPJ Healthcare Berhad

A leader in Malaysia's challenging healthcare services industry

News Detail:

KPJIUC tawar kursus perubatan

Kolej Universiti Antarabangsa Kejururawatan dan Sains Kesihatan KPJ (KPJIUC) menjadi institusi pengajian tinggi (IPT) terakhir yang diluluskan untuk membuka sekolah perubatan

26-07-2011

Kolej Universiti Antarabangsa Kejururawatan dan Sains Kesihatan KPJ (KPJIUC) menjadi institusi pengajian tinggi (IPT) terakhir yang diluluskan untuk membuka sekolah perubatan berikutan keputusan kerajaan untuk membekukan penawaran kursus baru dalam bidang itu sejak Mei lalu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, KPJIUC juga merupakan institusi pengajian tinggi ke-33 yang diluluskan untuk menawarkan kursus perubatan di negara ini.

"Permohonan KPJIUC telah diluluskan kerana mereka telah memohon penawaran kursus perubatan sebelum 1 Mei.

"Kelulusan yang dlberikan membolehkan KPJIUC memanfaatkan sumber-sumber yang ada kerana Kumpulan mempunyai rangkaian hospital yang luas," katanya selepas menyerah surat pelawaan naik taraf kolej universiti kepada KPJIUC di sini, hari ini.

Kerajaan sebelum ini bersetuju untuk melaksanakan moratorium atau pembekuan bagi penawaran kursus baru dalam bidang perubatan selarna lima tahun bermula 1 Mei lalu.

Pembekuan itu bertujuan memastikan bilangan graduan perubatan diihasilkan oleh IPT yang menawarkan kursus perubatan sedia ada dapat menjalani latihan perubatan berkualiti.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berharap KPJIUC akan memanfaatkan hospital-hospital yang dimiliki oleh Kumpulan KPJ untuk melakukan penyelidikan perubatan termasuk meneroka ubat-ubatan baru.

"Penemuan ilmu baru banyak berlaku dalam dunia perubatan dan kemampuan penyelidikan bidang ini banyak bergantung kepada akses dalam hospital.

"KPJIUC mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada negara dalam melahirkan modal insan dan menjadikan Malaysia sebagai hab pengajian tinggi antarabangsa," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Datin Paduka Siti Sa’diah Sheikh Bakir berkata, KPJIUC menyasarkan untuk memulakan kursus perubatannya dalam  tempoh dua tahun.

"Kita yakin dapat mencapai sasaran kerana Kumpulan KPJ mempunyai pakar-pakar perubatan yang boleh membantu menyediakan kursus perubatan," katanya.

Menurut Siti Sa’diah, pihaknya kini dalam usaha untuk membina empat hospital baru di Kota Kinabalu, Muar, Pasir Gudang dan Klang.

"KPJ bakal mempunyai 24 hospital di Malaysia apabila keempat-empat hospital tersebut disiapkan menjelang 2013.

"Nilai pembangunan kasar (GDV) untuk hospital baru di Sabah adalah sekitar RM140 juta manakala tiga hospital lain bernilai antara RM70 juta hingga RM80 juta setiap satu," katanya.







BACK