KPJ Healthcare Berhad

A leader in Malaysia's challenging healthcare services industry

News Detail:

KPJ lebarkan sayap industri kesihatan ke Perlis

KPJ Healthcare Berhad (KPJ), pengendali hospital swasta terbesar di Malaysia kini melebarkan sayap dalam industri kesihatan dengan membina sebuah hospital pakar di Perlis.

23-11-2011

KANGAR: KPJ Healthcare Berhad (KPJ), pengendali hospital swasta terbesar di Malaysia kini melebarkan sayap dalam industri kesihatan dengan membina sebuah hospital pakar di Perlis.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu melancarkan acara pecah tanah projek fasa pertama hospital itu yang bernilai RM30 juta bagi merealisasikan pembinaan Perlis Specialist Hospital, yang akan bermula Januari 2012.

Hospital pakar setinggi lapan tingkat itu akan dibina di atas tapak seluas kira-kira sehektar di Pengkalan Asam dekat sini dan merupakan satu-satunya hospital pakar swasta di negeri ini.

Pengarah Urusan KPJ, Datin Paduka Siti Sa’diah Sheikh Bakir berkata, projek secara usaha sama dengan Yayasan Islam Perlis (YIPs) itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun dan akan memberi perkhidmatan sempurna terutama kepada lebih 240,000 penduduk Perlis.

KPJ yang merupakan anak syarikat Johor Corporation akan mempunyai 60 peratus kepentingan dalam projek usaha sama itu manakala YIPs sebanyak 40 peratus.

Hospital dengan 90 katil itu akan mempunyai kemudahan tiga bilik bedah termasuk unit penjagaan rapi, bilik bersalin, kemudahan fisioterapi, hemodialisis, kecemasan dan kemalangan serta perkhidmatan pesakit luar 24 jam.

Tahap kemudahan itu akan ditingkatkan lagi melalui projek fasa kedua hospital itu yang kosnya akan ditentukan kemudian, katanya.

Beliau berkata, pada masa ini KPJ memberi perkhidmatan kepada lebih dua juta pesakit luar, lebih 220,000 pesakit mendapat rawatan dalam hospital setiap tahun di lebih 20 hospitalnya di seluruh negara dan dua di Indonesia.

KPJ yang mempunyai 800 pakar perubatan dan lebih 8,000 pekerja kini dalam usaha mengembangkan jaringan hospital baru di Klang iaitu KPJ Specialist Hospital yang akan mula berperasi akhir tahun ini.

Selain itu, dua lagi hospital sedang dibangunkan dan akan beroperasi tahun depan iaitu Muar Specialist Hospital dan Pasir Gudang Specialist Hospital yang akan beroperasi tahun depan. -Bernama







BACK