DENGKIL, 30 Nov (Bernama) -- KPJ Healthcare Berhad (KPJ) melalui anak
syarikatnya kini berhasrat mengambil Pusat Anak Permata Negara (PAPN)
sebagai anak angkat pusat kesihatan itu.
Pengurus Besar KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital Noor Haslina Harun
berkata antara anak syarikat KPJ yang berminat ialah KPJ Johor
Specialist Hospital, KPJ Ipoh Specialist Hospital dan KPJ Selangor
Specialist Hospital.
"Walaubagaimanapun perkara tersebut masih dalam peringkat perbincangan
dengan pihak Pusat Anak Permata Negara," katanya ketika ditemui
pemberita selepas sambutan majlis ulang tahun kedua PAPN Taman Permata
Dengkil, di sini pada Rabu.
Katanya KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital memilih PAPN Dengkil
sebagai anak angkat mereka dan hasrat itu dipersetujui oleh PAPN.
Menurutnya menerusi program anak angkat itu, kanak-kanak yang berada di
PAPN akan diberikan pemeriksaan kesihatan secara percuma dan program
kesedaran mengenai kesihatan.
"Kita juga akan membuat program bulanan lain dengan mereka dan aktiviti
tambahan lain yang mana kita akan bincangkan dengan PAPN nanti,"
katanya.
-- BERNAMA
|