KPJ Healthcare Bhd (KPJ) berada di landasan yang betul untuk memanfaatkan perkembangan pesat dalam sektor penjagaan kesihatan di Malaysia.
Sektor penjagaan kesihatan dikenal pasti sebagai satu daripada 12 tunjang utama dalam program transformasi ekonomi dan dijangka menyumbangkan RM31.2 bilion kepada pendapatan kasar negara menjelang 2020.
KPJ adalah pengendali hospital swasta terbesar di Malaysia. Ia turut mengendalikan dua buah hospital di Indonesia.
Pemegang saham majoritinya terdiri daripada Johor Corp Bhd (41.0 peratus), KWSP (13.4 peratus), Nomura Asset Management (8.7 peratus),
Skim Amanah Saham (8.7 peratus) dan Kumpulan Waqaf (8.0 peratus). Maybank IB Research dalam nota penyelidikan pada 30 November 2011 memulakan pemantauannya ke atas saham KPJ dengan saranan 'beli’ dan mengunjurkan harga wajar RM5.10 sesaham berdasarkan 22 kali nisbah harga perolehan TK2012.
KPJ kini mengendalikan 20 buah hospital persendirian dan menguasai 19 peratus daripada jumlah keseluruhan katil hospital persendirian di Malaysia.
Ia merancang untuk menambah satu atau dua buah hospital kendaliannya setiap tahun dalam usaha mengembangkan rangkaian perkhidmatan perubatannya.
Menjelang akhir 2013, Ia mungkin menambah lima hospital lagi sekali gus meningkatkan kapasiti katil disediakan kepada 35 peratus.
KPJ dijangka akan lebih agresif bersaing untuk menarik lebih ramai pesakit daripada luar negara melalui sektor pelancongan dan kesihatan. Selain itu, segmen pendidikan dan latihan perubatan yang ditawarkan oleb KPJ mampu menjadi salah satu cabang utama pertumbuhannya.
Saham KPJ kini adalah saham berkaitan perniagaan hospital yang paling murah berbanding saham syarikat pesaing dalam bidang yang sama di rantau ini.
Saham KPJ diniagakan pada 18.1 kali nisbah harga perolehan unjuran TK2012 berbanding syarikat pesaing yang diniagakan pada purata 22.3 kali nisbah berkenaan.
|