SEGAMAT 8 Dis. - Seramai 300 penduduk dan sekitar Kampung Jawa di sini, menerima manfaat pemeriksaan kesihatan secara percuma menembusi Kem Kesihatan anjuran Hospital Pakar KPJ Johor di Dewan Orang Ramai Kampung Jawa di sini, baru-baru ini.
Program sehari itu menawarkan perkhidmatan pemeriksaan jisim indeks tubuh (BMI), pemeriksaan mata, ujian tekanan darah, pemeriksaan kandungan glukosa di dalam darah, kaunseling diabetes serta pemeriksaan payu dara.
Pengarah Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Hospital Pakar KPJ Johor, Norita Ahmad berkata, matlamat program itu adalah bagi memberi kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan di samping mengeratkan hubungan antara KPJ dengan masyarakat setempat.
"Walaupun kedudukan Segamat agak jauh dan Hospital Pakar KPJ Johor di Johor Bahru, ramai juga yang sanggup pergi jauh untuk mendapatkan rawatan di KPJ Johor, maka seharusnya kami mengadakan kem kesihatan ini untuk mengeratkan lagi hubungan baik yang sudah sedia terjalin," katanya.
Beliau berucap pada majlis perasmian Kem Kesihatan anjuran Hospital Pakar KPJ Johor di Dewan Orang Ramai Kampung Jawa di sini baru-baru ini yang disempurnakan oleh Pegawai Daerah Segamat, Abd. Rahim Nin
Pada majlis yang sama, pihak Hospital Pakar KPJ Johor turut menyampaikan sumbangan tujuh basikal dan 70 beg Sekolah kepada para pelajar cemerlang serta pelajar kurang bernasib baik.
Sementara itu, menurut Abd. Rahim, pihak beliau amat mengalu-alukan penganjuran kem kesihatan KPJ Johor itu yang julung-julung kali diadakan di daerah Segamat dan diharap ia dapat memberi kesedaran kepada penduduk mengenal kepentingan penjagaan kesihatan.
Beliau berharap, program itu dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memberi peluang kepada masyarakat luar bandar menerima pemeriksaan kesihatan Secara percuma serta bimbingan untuk gaya hidup yang lebih sihat.
|