SIBU: Peralatan perubatan terkini iaitu CT Scanner 64 Slice bernilai hampir RM2 juta membolehkan Pusat Perubatan Pakar Sibu(SMC) di sini memberikan perkhidmatan radiologi dan pengimejan yang lebih baik kepada pelanggan pusat terbabit.
Pengurus Besar Kanan Kumpulan KPJ Healthcare Berhad Abdol Wahab Baba berkata, peralatan perubatan terbabit mampu memberikan pengimejan yang lebih cepat, kualiti imej yang lebih baik serta lebih tepat berbanding peralatan sama yang lama.
"Selain CT Scan ini, sejak mengambil alih SMC, KPJ telah memperkenalkan peralatan perubatan lain seperti mammogram, mesin ujian stres dan mesin ultra bunyi 3D, bernilai kira-kira RM563,000," ujarnya pada majlis pelancaran CT Scan 64 Slice di SMC, Semalam.
Majlis pelancaran telah dilakukan oleh Menteri Kewangan Kedua merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Masyarakat Dato Sri Wong Soon Koh.
Hadir sama ialah Pengarah Perubatan SMC Dr Wong Chya Wei, Pengurus Kanan Mohamad Hafiz Zaini, Pengarah Dr Sengkathir Subramaniam dan Pengarah KPJ Love Care Cantre Dr Henry Toh Yew King.
Menurut Abdol Wahab lagi, SMC kini menjadi hospital ke-21 di bawah pengurusan KPJ Healthcare Berhad, selepas diambil alih awal tahun ini.
SMC mempunyai 35 katil pesakit dan sembilan doktor pakar tetap serta 11 doktor pakar pelawat.
Selari dengan wawasan KPJ iaitu 'The Preferred Healthcare Provider’ dan misinya iaitu 'Deliver Quality Healthcare Service’, KPJ akan terus menambah baik kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkannya.
Beliau turut memberitahu bahawa pada bulan lepas, SMC mencatat pendapatan berjumlah RM15.6 juta, meningkat 37 peratus berbanding tahun lepas.
Jumlah pesakit turut meningkat sebanyak 427 peratus iaitu daripada 11,739 kepada 61,886 pesakit. Disamping itu katanya, KPJ juga berusaha mendapatkan pengiktirafan antarabangsa dengan mengambil pendekatan yang betul serta berkualiti.
"Buat masa ini, 10 hospital di bawah KPJ telah diiktiraf oleh Malaysian Society for Quality in Health (MSQH)," ujar Abdol Wahab.
Hospital terbabit ialah KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital, KPJ Damansara Specialist Hospital, KPJ Ipoh Specialist Hospital, KPJ Johor Specialist Hospital, KPJ Selangor Specialist Hospital, KPJ Seremban Specialist Hospital, KPJ Perdana Specialist Hospital, Kedah Medical Centre, KPJ Kajang Specialist Hospital dan KPJ Penang Specialist Hospital.
"Bagi tahun ini, dua hospital kita iaitu KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital dan KPJ Seremban Specialist Hospital telah dinilai oleh JCI Accreditation.
"Lebih banyak lagi hospital KPJ akan dinilai bagi memperolehi sijil akreditasi pada tahun depan," tambah Abdol Wahab. Selain CT Scan ini, sejak mengambil alih SMC, KPJ telah memperkenalkan peralatan perubatan lain seperti mammogram, mesin ujian stres dan mesin ultra bunyi 3D, bernilai kira-kira RM563,000.
-Utusan Borneo Sarawak
|