THEMED Attractions and ~ Resorts Sdn Bhd memperoleh tujuh perkongsian korporat baharu bernilai RM6 juta bagi taman tema pendidikan dan hiburan tertutup, KidZania Kuala Lumpur.
Rakan-rakan kongsi baru itu ialah Airtime Management and Programming Sdn Bhd, Allianz General Insurance Company, Allianz Life Insurance Malaysia Bhd dan A Clouet and Co (KL) Sdn Bhd (Ayam Brand).
Kraft Malaysia Sdn Bhd, Mini Melts (M) Sdn Bhd, Plaza Premium Lounge Management Ltd dan Sushi King Sdn Bhd (Sushi King) turut berada dalam senarai.
Naib Presiden Kanan Perkongsian Korporat dan Pembangunan Komersialnya, Philip Whittaker berkata jumlah keseluruhan nilai perkongsian itu telah mencecah RM50 juta.
Pada masa ini, syarikat itu mempunyai 27 rakan kongsi, termasuk tujuh rakan kongsi baru itu.
"Kami hampir mencapai 80 peratus daripada keseluruhan nilai sasaran kami. Saya percaya sasaran itu akan dicapai dalam 12 bulan akan datang.
"Kami akan mencari 10 hingga 15 perkongsian lagi dalam tempoh itu," katanya kepada media selepas upacara memeterai perjanjian perkongsian itu.
Whittaker berkata syarikat itu mengharapkan rakan kongsi yang bergiat dalam industri barangan pengguna mudah laris dan produk penjagaan kesihatan peribadi.
Sebahagian daripada syarikat yang menjadi rakan kongsi Themed Attractions bagi taman tema itu ialah AirAsia Bhd, Celcom Axiata Bhd, Media Prima Bhd, Sony (M) Sdn Bhd, KPJ Healthcare Bhd dan Telekom Malaysia Bhd.
- BERNAMA
|