
JOHOR BAHRU: Kumpulan pakar perunding Hospital Pakar Johor (KPJ) tampil membantu meringankan beban empat keluarga miskin sekitar Taman Cendana, Pasir Gudang di sini, sekali gus menggalakkan kakitangannya membantu golongan kurang bernasib baik.
Menerusi kunjungan yang diketuai Pengerusi Tabung Amal Perunding KPJ, Dr Ong Ah How, setiap keluarga terbabit menerima sumbangan pelbagai barangan makanan bernilai RM200, selain angpau sempena Tahun Baru Cina bagi menceriakan seisi keluarga.
Dr Ong berkata, kebanyakan keluarga yang dilawati mereka itu ibu tunggal yang tidak mempunyai pekerjaan tetap berikutan menghadapi pelbagai masalah kesihatan selain tidak dapat bekerja kerana kekangan tertentu.
"Sumbangan ini inisiatif tabung amal meringankan beban kewangan keluarga miskin terbabit membolehkan kami menunaikan tanggungjawab sosial korporat menerusi program kebajikan, " katanya yang hadir bersama Pakar Bedah Indovascular, Dr Mohd Mazri Yahya.
Penerima bantuan, Hasnah Abdul Majid, 43, berkata beliau tidak dapat bekerja kerana perlu menjaga anak lelakinya berusia 33 tahun yang juga pesakit mental menyebabkan terpaksa bergantung hidup dengan bantuan bulanan diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM265.
"Saya memanfaatkan bantuan yang diterima itu untuk membayar sewa bulanan rumah sebanyak RM100 sebulan, selebihnya digunakan untuk menampung keperluan hidup kerana tidak mempunyai sebarang pekerjaan," katanya.
Ibu kepada 10 anak yang hanya dikenali, Juriah, 53, mendakwa terpaksa memulakan hidup baru di negeri ini selepas mengambil keputusan membawa diri dari Perak, sejak seorang anak perempuannya menderita penyakit misteri.
"Penyakit misteri yang dialami anak saya menyebabkan orang ramai menyisih dan keadaan itu memaksa kami berdua berpindah ke sini bagi memulakan kehidupan baru.
"Mujur ada jiran yang prihatin dan memberi bantuan kerana saya tidak bekerja sebab anak memerlukan penjagaan rapi sebab dia tidak mampu berdikari seperti remaja lain," katanya.
|