KPJ Healthcare Berhad

A leader in Malaysia's challenging healthcare services industry

News Detail:

KPJ Healthcare perluas sayap di ASEAN

KPJ Healthcare Bhd. (KPJ Healthcare) bakal mengembangkan sayapnya ke negara ASEAN dan sedang meninjau beberapa negara seperti Kemboja, Thailand, Vietnam serta Indonesia.

30-05-2012

KPJ Healthcare Bhd. (KPJ Healthcare) bakal mengembangkan sayapnya ke negara ASEAN dan sedang meninjau beberapa negara seperti Kemboja, Thailand, Vietnam serta Indonesia.

Pengarah Urusannya, Datin Paduka Siti Sa’adiah Sheikh Bakir berkata, pada masa ini, syarikat itu mempunyai kehadiran di Indonesia.

Katanya, usaha itu mampu membuka peluang kepada mereka meluaskan spektrum dan akses kepada pasaran penjagaan kesihatan di rantau ASEAN.

"Strategi yang akan diguna pakai KPJ Healthcare adalah dengan cara pemilikan atau penggabungan dengan hospital-hospital sedia ada di negara-negara tersebut.

"Kami berharap menjelang akhir tahun ini, KPJ Healthcare bakal memuktamadkan satu pemilikan atau memeterai perjanjian jualan dan pembelian," katanya pada sidang akhbar di Invest Malaysia 2012 di sini hari ini.

Tambah Siti Sa’adiah, mereka sering mendapat jemputan daripada hospital-hospital di rantau ini dan mendapat maklumat konsultan mengenai pihak yang berminat untuk melupuskan kepentingan mereka.

"Bagi kami apa yang penting sekiranya harga ditawarkan adalah bersesuaian serta lokasi menarik, KPJ Healthcare akan mempertimbangkan sebarang pemilikan," jelasnya.

Sementara itu, KPJ Healthcare mengenal pasti sembilan lokasi di seluruh negara untuk membuka hospital-hospital baru dan melabur lebih RM1 bilion untuk mengembangkan perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada komuniti.

Seperti yang diumumkan pada November lalu, apabila kesemua hospital itu siap sepenuhnya, ia membuka 3,000 peluang pekerjaan baru dan menyumbang kira-kira RM1.2 bilion pendapatan kasar negara.



BACK