
KOTA BHARU 14 Mei - Kumpulan KPJ Healthcare Berhad (KPJ) akan membuka cawangan baru klinik wakaf kelolaannya yang dikenali dengan nama Klinik Wakaf An-Nur (KWAN) di Masjid Al-Ismaili, Pasir Pekan di daerah Tumpat apabila masjid itu siap pembinaannya tidak lama lagi.
Pengurus Besar Kanan Kumpulan KPJ, Abdol Wahab Baba berkata, setakat ini, pihaknya telah menubuhkan 15 buah KWAN yang sebahagian besarnya berpusat di masjid antaranya di Johor, Selangor, Negeri Sembilan, Sarawak dan Perak.
Beliau yang juga Pengerusi Hospital Pakar KPJ Perdana berkata, penubuhan KWAN yang membabitkan belanja operasi sehingga RM400,000 setahun untuk setiap klinik adalah satu manifestasi penyempurnaan tanggungjawab korporat Kumpulan KPJ.
"Penubuhan KWAN yang dimulakan sejak 10 tahun lalu serta sebuah hospital wakaf di Pasir Gudang, Johor bertujuan memberi peluang kepada golongan yang tidak berkemampuan mendapatkan rawatan dan ubat terbaik dengan bayaran yang amat rendah.
"Pesakit yang mengunjungi KWAN hanya dikenakan caj RM5 bagi bayaran pemeriksaan doktor dan bekalan ubat untuk tiga hari tetapi jika mereka mahu membayar lebih pun tidak mengapa sebagai wakaf untuk operasi klinik," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Kad Kelab 'Cutie' dan sambutan ulang tahun ke-10 Hospital Pakar KPJ Perdana di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Perdana, Asmadi Mohd. Bakri dan Pengarah Perubatannya Dr. Mahayidin Muhammad.
Abdol Wahab berkata, pihaknya bekerjasama dengan Majlis Agama Islam di setiap negeri dan sengaja memilih kawasan masjid sebagai lokasi klinik bagi meluaskan lagi fungsinya selain daripada tempat ibadah.
"Kami menyediakan doktor untuk merawat pesakit di setiap KWAN yang dibuka pada hari bekerja dari pukul 8 pagi hingga 5 petang dan sebahagiannya juga turut dilengkapi dengan pusat dialisis sendiri," katanya.
Sementara itu, beliau menjelaskan, pelancaran Kad Kelab 'Cutie' di Hospital Pakar KPJ Perdana adalah yang ketiga selepas pelancaran di Hospital KPJ Ampang Puteri dan KPJ Tawakkal Kuala Lumpur yang telah menarik lebih 300 ahli.
Jelasnya, keahlian kelab itu khusus kepada kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah bagi memberi kesedaran tentang pentingnya menjaga kesihatan kepada generasi muda di samping melibatkan kakitangan hospital dengan kerja kemasyarakatan melalui program bersama kanak-kanak.
"Malah dengan yuran tahunan RM5 sahaja, pemegang kad ini akan mendapat harga istimewa ketika mendapat rawatan di hospital dan potongan lima peratus hingga 10 peratus bagi produk Upin & Ipin yang dijual di sini," katanya. |