
KUALA LUMPUR 20 Jun - Pesakit buah pinggang yang kurang berkemampuan di negara ini akan memperoleh manfaat melalui penubuhan empat Pusat Dialisis Amal Tan Sri Muhyiddin milik Yayasan TSM Charity Golf (TSMCG) tidak lama lagi.
Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata, buat permulaan, pusat dialisis pertama bakal dibuka di Taman Tasik Titiwangsa di sini pada akhir Julai depan yang akan memberi rawatan dengan kadar bayaran berpatutan.
Katanya, penubuhan pusat itu yang diilhamkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga pengasas TSMCG tersebut turut akan dibuka di Johor Baharu, Pagoh dan Putrajaya.
''Penubuhan pusat itu diharap akan mengatasi masalah kekurangan pusat rawatan itu yang sangat kritikal di negara ini," katanya selepas menandatangani perjanjian di antara Yayasan TSMCG dan Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Pada majlis itu, KPJ diwakili oleh Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Datin Paduka Siti Sa'diah Sheikh Bakir sambil disaksikan oleh Muhyiddin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KPJ, Amiruddin Abdul Satar dan, Presiden dan CEO Johor Corporation, Kamaruzzaman Abu Kassim.
Perjanjian itu adalah bagi melantik KPJ untuk tujuan pengurusan operasi pusat dialisis tersebut untuk tempoh lima tahun.
Pusat Dialisis pertama yang bernilai hampir RM970,000 itu telah siap dibina pada Januari lalu dan akan menempatkan sebanyak 18 buah mesin yang boleh memberi rawatan seramai 72 pesakit kurang setiap hari.
Pembinaan pusat itu dibuat atas tanah yang dipajakkan oleh Ahli Majlis TSMCG, Datuk Suhaimi Abdullah dengan harga RM1 untuk tempoh 10 tahun dengan lanjutan pajakan selama lima tahun.
''Rawatan di pusat itu yang akan beroperasi enam hari seminggu akan memberi keutamaan kepada pesakit daripada senarai data Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.
Sementara itu, Siti Sa'diah berkata, pihaknya menyambut baik pelantikan sebagai pengurus pusat terbabit dan berjanji memberikan perkhidmatan terbaik berdasarkan pengalaman selama 30 tahun dalam bidang perkhidmatan kesihatan.
''Sehingga tahun lalu, seramai 15,000 pesakit telah mendapat rawatan daripada perkhidmatan dialisis di 18 buah hospital KPJ di seluruh negara," katanya.
|