Dengan perancangan tersebut, KPJ, anak syarikat Kumpulan Johor Corporations (JCorp) yang kini mempunyai 21 hospital swasta dengan kemudahan 2,600 buah katil, akan terus kukuh kedudukan mereka dalam industri kesihatan negara.
Pengerusinya, Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM867 juta akan digunakan untuk pembinaan enam hospital baru di beberapa lokasi terpilih di negara ini secara berperingkat-peringkat dalam tempoh tiga hingga empat tahun.
Beliau yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCorp berkata, enam hospital itu ialah Hospital Pakar KPJ Sabah, Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang, Hospital Pakar KPJ Bandar Dato’ Onn dan Hospital Pakar KPJ Muar di Johor, Hospital Pakar KPJ Pahang dan Hospital Pakar KPJ Perlis.
“Biarpun kita sering menerima permintaan daripada pihak luar untuk mewujudkan hospital KPJ di negara mereka, kita tidak terburu-buru untuk berbuat demikian," katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan KPJ Ke-19 di sini hari ini.
Beliau berkata, dengan pertambahan hospital baru tersebut, KPJ yang telah merawat lebih 2.5 juta pesakit hingga kini dan mempunyai lebih 8,000 pekerja dan 800 doktor pakar dalam pelbagai bidang bakal mempunyai tambahan lebih 800 buah katil baru.
Mengenai pencapaian KPJ tahun lalu, Pengarah Urusan KPJ, Datin Paduka Siti Sa‘diah Sheikh Bakir berkata, pihaknya mencatat pendapatan terkumpul tertinggi iaitu RM1.91 bilion, lebih dua kali ganda daripada apa yang dicapai lima tahun lalu.
Menurutnya, jumlah tersebut kira-kira 15 peratus lebih tinggi berbanding pencapaian tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan prestasi terbaik syarikat dalam tempoh 30 tahun.
“Pertumbuhan hasil yang diperoleh KPJ tahun lalu turut mencerminkan ketahanan perniagaan syarikat dengan prospek jangka panjang. Keuntungan bersih berkembang kepada 11 peratus iaitu sebanyak RM131.7 juta berbanding RM126.22 juta yang direkodkan pada 2010," katanya.
|