KOLEJ Universiti KPJ(KPJUC) yang sebelum ini dikenali sebagai Kolej Kejururawatan Puteri yang ditubuh pada 1991, ialah kolej kejururawatan swasta pertama menawarkan program Diploma Kejururawatan diiktiraf Agensi Kelayakan Malayia (MQA).Bagi mengukuhkan tujuan KPJUC anak syarikat KPJ Health menghasilkan tenaga profesional dalam penjagaan kesihatan serta mengukuhkan kecemerlangan akademiknya, kolej itu menjalin kerjasama erat dengan universiti tempatan dan antarabangsa termasuk Liverpool John Moores University(LJMU), United Kingdom, untuk program tiga tahun Diploma Pendidikan Tinggi Jabatan Latihan Operasi. Kursus itu ialah program dipertingkat daripada peringkat sijil yang sebelum ini disediakan KPJIUC. Ketika ini ada 157 graduan peringkat sijil dan tidak lama lagi, KPJUC akan mengambil kumpulan pertama pelajar peringkat diploma kursus itu. Kakitangan Jabatan Operasi (ODP) membantu pakar bedah, pakar bius dan jururawat dewan bedah bagi memastikan setiap pembedahan pesakit selamat dan berjaya sebaik mungkin. Selain itu, tugas ODP juga meliputi jabatan lain termasuk unit rawatan rapi dan kritikal mengikut keperluan. ODP mungkin bekerja sebagai pembantu pertama pakar bedah, pembantu pembedahan atau pembantu dewan bedah menyebabkan ia perlu mempunyai pengetahuan menyediakan keperluan dewan bedah termasuk peralatan yang sesuai untuk sesuatu pembedahan. Selain pengetahuan, program itu bertujuan menyediakan pelajar dengan asas lengkap pekerjaan, termasuk keyakinan melalui latihan. Pelajar akan didedahkan dengan pelbagai kaedah penilaian sama ada klinikal dan akademik yang dikendalikan pensyarah KPJUC manakala latihan klinikal diadakan di rangkaian 21 hospital KPJ. KPJUC sudah menghasilkan hampir 5,000 jururawat serta kakitangan profesional penjagaan kesihatan berkelulusan diploma dan ijazah.Bagi kemasukan September ini, KPJUC dijangka memperkenal 30 program baru peringkat ijazah dan ijazah sarjana serta kedoktoran di kampusnya di Nilai, Negeri Sembilan. Maklumat lanjut boleh diperolehi di Universiti Kolej KPJ di Lot PT 17010, Persiaran Seriemas, Kota Seriemas, Nilai atau hubungi 067942629 atau layari www.kpjiuc.edu.my.
|