LZS sedia klinik bergerak |
Menyedari peningkatan kos rawatan perubatan antara aspek kritikal dalam kalangan masyarakat |
30-06-2013 |
Menyedari peningkatan kos rawatan perubatan antara aspek kritikal dalam kalangan masyarakat, Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengambil langkah proaktif menyediakan Klinik Bergerak sebagai inisiatif memberi kesihatan kepada masyarakat terutama kepada asnaf fakir dan miskin. Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof berkata, inisiatif mewujudkan Klinik Bergerak ini direalisasikan dengan hasrat manfaat daripada zakat dapat diberikan terutamanya kepada masyarakat Islam. “Hasrat mewujudkan Klinik Bergerak ini tercetus setelah kami dapati berlaku peningkatan bantuan perubatan di LZS. “Sebagai contoh pada 2011, agihan bantuan perubatan adalah sebanyak RM29.5 juta meningkat kepada RM32.3 juta pada tahun lalu,†katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Klinik Bergerak di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini semalam. LZS menyampaikan sumbangan berupa Klinik Bergerak kepada KPJ Healthcare Berhad yang mengendalikan Klinik Waqaf An-Nur bagi memberi perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan luar bandar terutamanya asnaf fakir dan miskin di Selangor. Melalui Klinik Bergerak yang berkapasiti lima tan ini, orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan rawatan bagi kes ringan seperti pemeriksaan kesihatan luar bagi wanita hamil dan pemeriksaan darah tinggi serta kencing manis. Buat permulaan, Klinik Bergerak ini akan memulakan operasinya di kawasan Hulu Langat melibatkan masjid terpilih di sekitar kawasan tersebut sebagai lokasi penempatan mengikut penggiliran. Majlis Penyerahan Klinik bergerak ini disempurnakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah LSZ, Datuk Siti Maslamah Osman kepada Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthacare Berhad, Amiruddin Abdul Satar. Orang ramai boleh mengunjungi masjid terlibat bagi mendapatkan rawatan dan ubat-ubatan dengan kadar bayaran sebanyak RM5 setiap kali rawatan. Dalam majlis sama, LZS turut menyampaikan bantuan perubatan kepada lima individu yang memerlukan. Mereka adalah Mohd Zain Yunus menerima bantuan berjumlah RM44,000 bagi membeli peralatan implan jantung; Ridzuan Idris menerima bantuan perubatan bagi rawatan kimoterapi berjumlah RM34,744 dan Khairul Nasri Mohd Noor yang mendapat bantuan perubatan untuk pembedahan tulang belakang berjumlah RM28,000. Manakala Rosmin Malain pula menerima bantuan pembelian ubat bagi rawatan penyakit paru-paru anaknya berjumlah RM25,500 serta Mohd Said Haron pula menerima bantuan zakat berjumlah RM15,000 untuk peralatan pendengaran anaknya. |