KPJ Healthcare Berhad

A leader in Malaysia's challenging healthcare services industry

News Detail:

Bukti hubungan mesra dua negara

Pembukaan Sheikh Fazilatunnesa Mujib Memorial KPJ Specialised Hospital di Bangladesh

19-11-2013

DHAKA Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyambut baik pembukaan sebuah hospital pakar dan kolej kejururawatan di sini semalam yang menjadi bukti kepada hubungan mesra serta akrab Malaysia dan Bangladesh.

Beliau berkata, kewujudan Sheikh Fazilatunnesa Mujib Memorial KPJ Specialised Hospital and Nursing College itu menjadi kenyataan menerusi kerjasama rapat Nation Bangabandhu Sheikh Mujibur Rahman Memorial Trust, sebuah tabung amanah keluarga Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina dan penyedia penjagaan kesihatan Malaysia, KPJ Healthcare Bhd.

"Hubungan antara Malaysia dan Bangladesh sentiasa mesra serta akrab dan saya gembira melihat hubungan kita semakin rapat," kata beliau pada majlis perasmian hospital itu di sini.

Turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Sheikh Hasina, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman serta Pengarah dan Penasihat Korporat KPJ Healthcare, Datin Siti Saadiah Sheikh Bakir.

Hospital itu dibina di atas tapak seluas 2.42 hektar dengan kos 2.15 bilion Bangladesh
Taka (kirakira RM88.19 juta).

Najib berkata, menerusi perjanjian kerjasama dengan KPJ Healthcare, hospital dilengkapi 250 katil itu akan segera memperoleh khidmat pasukan pengurus hospital yang berkelayakan dan berpengalaman.

Najib berkata, hospital itu akan menawarkan khidmat penjagaan kesihatan kelas
pertama, menyediakan kepada warga Bangladesh termasukb golongan miskin, akses
yang lebih baik kepada rawatan bertaraf antarabangsa.

 "Saya dimaklumkan bahawa 30 peratus daripada pesakit terdiri daripada golongan miskin dan mereka akan diberi kadar istimewa," katanya.

Beliau berkata, hospital itu akan menyokong usaha Bangladesh untuk menyediakan
jaringan keselamatan bagi golongan miskin, di samping menyediakan perkhidmatan
kepada kalangan kurang upaya dan membantu meningkatkan penjagaan kesihatan ibu dan anak.

Selain khidmat penjagaan kesihatan, beliau berkata, hospital itu akan turut menempatkan kolej kejururawatan dengan kapasiti 50 pelajar, yang akan menyokong
usaha Bangladesh untuk melatih lebih banyak profesional dalam penjagaan kesihatan.

KPJ Healthcare, dengan rekod pencapaian 33 tahun di Malaysia, kini mengendalikan
23 hospital di Malaysia, dua di Indonesia dan satu di Thailand.

Pada 2011, KPJ Healthcare menjadi pertubuhan penjagaan kesihatan swasta pertama mendapat kelulusan Kementerian Pengajian Tinggi menubuhkan sekolah perubatannya sendiri, menyediakan program latihan kepakaran kepada doktor dari seluruh Malaysia.- Bernama



BACK