KPJ Healthcare Berhad

A leader in Malaysia's challenging healthcare services industry

News Detail:

JENAMA SEMULA: MPC MAIN PERANAN

Utusan Malaysia - Perbadanan Produktiviti Negara (NPC) kini mempunyai dua peranan penting, selepas statusnya dijenamakan semula, mulai hari ini.

07-04-2008

Perbadanan Produktiviti Negara (NPC) kini mempunyai dua peranan penting, selepas statusnya dijenamakan semula, mulai hari ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, NPC yang kini dikenali sebagai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) perlu mengorak langkah dalam usaha mengukuhkan kedudukannya pada masa depan.

"MPC perlu memperkuatkan kapasiti industri dan berkemampuan untuk bersaing di peringkat global serta memacu proses pertukaran kelas dunia dalam industri di negara ini.

"Langkah ini bertepatan dengan visi baru MPC menjadi peneraju organisasi menerusi peningkatan produktiviti untuk bersaing di peringkat global.

"Hala tuju baru ini kena pada masanya ketika negara sedang bersaing dengan persekitaran perdagangan yang liberalisasi yang mana mampu untuk membuat satu perubahan dan membezakan produk dan perkhidmatan dalam memastikan kejayaan industri dalam pasaran global," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan MPC dan majlis penyampaian Anugerah Produktiviti 2006/2007 di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MPC, Tan Sri Azman Hashim dan Ketua Pengarah MPC, Datuk Nik Zainiah Nik Abdul Rahman.

Muhyiddin berkata, MPC telah muncul sebagai peneraju dalam pembangunan kualiti dan produktiviti di negara ini sejak 42 tahun lalu, sekali gus menjadi faktor pemangkin untuk sektor swasta berusaha mencapai kejayaan.

Jelas beliau, banyak industri telah mendapat faedah daripada inisiatif MPC termasuk industri kecil dan sederhana (IKS) menerusi program Kecemerlangan Organisasi MPC untuk menjadi pembekal utama pasaran domestik dan eksport.

Sementara itu, pada majlis penyampaian anugerah, MM Vitaoils (M) Sdn. Bhd. muncul sebagai pemenang Kategori Pengeluaran 3 iaitu syarikat tempatan yang memperolehi perolehan jualan tahunan melebihi RM25 juta hingga RM100 juta.

MTBE/Polypropylene (M) Sdn. Bhd. pula memenangi Kategori Pengeluaran 4 iaitu syarikat tempatan yang memperolehi perolehan jualan tahunan melebihi RM100 juta dan syarikat multinasional manakala Kategori Terbuka menjadi milik Malaysia Airlines Cargo Sdn. Bhd..

Bagi Anugerah Khas, pemenang-pemenangnya ialah Masasinar Holdings Sdn. Bhd., LKL Advance Metaltech Sdn. Bhd. dan Puteri Specialist Hospital.



BACK