JOHOR BAHRU 23 April - Buat julung kalinya para setiausaha di negeri ini tidak perlu ke Kuala Lumpur untuk meraikan Hari Setiausaha. Sebaliknya, kemeriahan sambutan berkenaan dapat dirasai di Dewan Tanjung Puteri, Persada Johor di sini hari ini atas usaha Convenue Marketing Sdn. Bhd., salah sebuah anak syarikat Kumpulan Johor Corporation (JCorp). Pengurusnya, Hafisan Tubi berkata, majlis tersebut bertujuan memberi peluang kepada para setiausaha di Zon Selatan beramah mesra antara satu sama lain. "Selama ini kalau tiba minggu setiausaha, orang di kawasan ini kena pergi ke sana (Kuala Lumpur), walhal di Johor pun ada tempat menarik untuk diadakan majlis sebegini. "Melihat kepada sambutan yang diberikan pada hari ini, tidak dinafikan majlis sebegini akan diadakan lagi. Mungkin pada masa akan datang, kami akan buat lebih meriah lagi," katanya. Bagi penganjuran kali ini, kira-kira 200 setiausaha yang bertugas di anak syarikat di bawah JCorp menyertainya. Antara anak syarikat yang turut memeriahkan majlis yang menampilkan penyanyi Adibah Noor dan pengacara Ally Iskandar itu adalah Kulim (Malaysia) Berhad, Damansara Asset Sdn. Bhd., KPJ Healtcare Berhad, Johor Land Berhad, Sindora Berhad, Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang dan TPM Technology Park. Adibah yang muncul kira-kira pukul 2 petang telah mendendangkan lagu-lagu seperti Cahaya, Hujan, Medley 80-an, Bila Rindu dan My Babby.
|