KPJ Healthcare Berhad

A leader in Malaysia's challenging healthcare services industry

News Detail:

Briged Waqaf JCorp digerak bantu mangsa banjir

Konglomerat kerajaan negeri, Johor Corporation (JCorp)melancarkan inisiatif

01-01-2015

JOHOR BAHRU 31 Dis. Konglomerat kerajaan negeri, Johor Corporation (JCorp) melancarkan inisiatif di peringkat syarikat untuk membantu mangsa banjir di negeri yang terjejas teruk akibat bencana alam berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antara yang digerakkan adalah Briged Waqaf yang bertanggungjawab menyelaras semua bentuk bantuan, penjadualan penghantaran bekalan, penggiliran tugas serta pembabitan anggota dalam kerja pemulihan dan pembersihan selepas banjir.

Menurut beliau, Briged Waqaf yang dianggotai sukarelawan dalam kalangan pegawai dan
kakitangan JCorp juga akan menyertai misi meninjau dan melaksanakan
kerja-kerja bantuan di lokasi bencana.

"Bantuan JCorp kepada mangsa banjir di luar Johor turut ditumpukan kepada anggota pekerja syarikat Kumpulan di rangkaian restoran KFC dan Pizza Hut serta Hospital Pakar KPJ.

"Kumpulan Johor Corporation turut terlibat melancarkan kutipan sumbangan untuk mangsa dalam bentuk makanan, susu, lampin pakai buang, selimut dan pakaian," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar berkata, antara anak syarikat JCorp terlibat adalah Damansara Assets Sdn. Bhd. (DASB) yang melancarkan kempen mengumpul sumbangan orang ramai di kompleks beli-belah KOMTAR JBCC.

Kempen sama juga dilancarkan di kompleks DASB lain iaitu Galleria@ Kotaraya, Larkin Sentral dan Pasar Raya Komuniti @mart dan hasil sumbangan, akan diserahkan kepada sekretariat Briged Waqaf bagi disalurkan kepada mangsa.

Beliau berkata, untuk bantuan awal, JCorp melalui QSR Brands (M) Holdings Sdn. Bhd., sudah menggerakkan usaha menyalurkan bantuan pada 25 Disember lalu dengan menghantar bekalan makanan ke pusat pemindahan mangsa banjir di Tumpat dan Kuala Krai, Kelantan.

"Ini disusuli penghantaran bekalan makanan kering ke pusat penerimaan sumbangan mangsa
banjir di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Subang untuk dihantar kepada 112 pusat pemindahan mangsa banjir di jajahan Gua Musang pada 27 Disember lalu.

"Selain semua agensi terlibat, JCorp juga mengikuti perkembangan cuaca di Johor dan dalam tahap siap siaga bagi menggerakkan bantuan bekalan makanan mahupun pembabitan anggota Briged Waqaf jika diperlukan," katanya.



BACK