Pusat hemodialisis KPJ Bandar Maharani beroperasi September |
14-08-2015 |
MUAR13 Ogos Pesakit buah pinggang di daerah ini dan sekitarnya berpeluang menikmati kemudahan rawatan hemodialisis apabila perkhidmatan itu mula beroperasi di Hospital Pakar KPJ Bandar Maharani pada September ini. Pengurus Besarnya, Mohamad Sofian Ismail berkata, bermula dengan enam buah mesin hemodialisis yang membolehkan enam pesakit menjalani rawatan dalam satu masa, jumlah itu akan menambah kepada 15 buah. "Perkhidmatan rawatan ini disediakan selepas mendapat permintaan menggalakkan. Selain itu kita juga akan sediakan seorang pakar buah pinggang untuk membolehkan pesakit membuat rujukan atau pemeriksaan. "Selain itu, kami juga merancang untuk menyediakan wad premier untuk golongan berkemampuan atau kenamaan dengan menempatkan 19 buah bilik," katanya ditemui dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Hospital Pakar KPJ Bandar Maharani di sini hari ini. Yang turut hadir Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Pengarah Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Dr. Selahuddeen Abd. Aziz dan Pengurus Perkeso Cawangan Muar, Reduan Muda@ Mohd. Yatim.- Utusan Malaysia (Johor) |