Kredibiliti graduan KPJ diperakui |
06-01-2018 |
Kredibiliti siswazah dihasilkan oleh KPJ Healthcare University College (KPJUC) terbukti dan diperakui industri kesihatan hasil pembangunan modul pengajaran dan pembelajaran yang sistematik. Sejak ditubuhkan pada 1991, KPJUC yang dahulunya dikenali sebagai Kolej Kejururawatan Puteri terus berkembang pesat. Bermula dengan 54 graduan pertama bagi jurusan Diploma Kejururawatan, kini meningkat drastik melahirkan antara 800 hingga 1,000 graduan setiap tahun. Sebagai kolej kejururawatan swasta pertama menawarkan program Diploma Kejururawatan yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), KPJUC juga berjaya membuktikan keupayaannya melahirkan jururawat yang penyayang, cekap, beretika dan berperikemanusiaan untuk berkhidmat di hospital dan komuniti. Sehingga kini, KPJUC telah melahirkan seramai 9,532 graduan di peringkat sarjana muda, diploma dan ijazah. Terbaharu, seramai 1,084 graduan sesi 2017 dari empat buah institusi pendidikan di bawah naungan KPJ Healthcare Berhad telah menerima skrol masing-masing pada majlis Konvokesyen Ke-2l yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Antara graduan yang menamatkan pengajian adalah dari KPJUC, KPJ International College of Nursing and Health Sciences (KPJIC) di Johor Bahru dan Pulau Pinang serta Malaysian College of Hospitality and Management (MCHM). Kesemua graduan sesi 2017 itu menerima sijil, diploma dan ijazah masingmasing dalam pelbagai bidang pendidikan kesihatan yang berpotensi besar untuk menyumbang khidmat meningkatkan tahap penjagaan kesihatan rakyat Malaysia. Pada majlis konvokesyen itu juga menyaksikan tiga graduan KPJUC terpilih menerima Anugerah Khas Kecemerlangan iaitu Asma Abdul Hadi yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengimejan Perubatan yang menerima Anugerah Canselor; S.S. Sugalia (Anugerah Tun Dr. Siti Hasmah) dan Nur Wahidhah Abdul Kafoor yang masing-masing menerima Anugerah Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KPJUC, Prof. Datuk Dr. Lokman Saim berkata, hingga kini siswazah yang dihasilkan KPJUC dan tiga lagi insitusi pendidikan di bawah naungan KPJ Healthcare Berhad terus mendapat permintaan tinggi. Menurutnya, tahap kebolehpasaran graduan di semua empat institusi pendidikan iaitu KPJ International College, Johor Bahru dan Pulau Pinang serta MCHM kini mencapai 98 peratus. "Hasil perancangan strategik oleh pengurusan KPJ Healthcare Berhad, keempat- empat institusi pendidikan itu telah berkembang pesat selari dengan keperluan semasa industri penjagaan danrawatan kesihatan. Bidang ini yang sentiasa berkembang menjadikan para pelajar kami kekal kompetitifmdalam pasaran. "Bagi KPJUC, pencapaiannya amat membanggakan yang mana setakat ini seramai 9,532 lepasan kolej ini yang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang seperti farmasi, pengimejan perubatan, fisioterapi serta sains farmaseutikal dan sains kesihatan telah berjaya menempatkan diri dalam pasaran," katanya. Turut hadir adalah Canselor KPJUC, Tan Sri Arshad Ayub; Pro Canselor KPJUC,Tan Sri Siti Saadiah Sheikh Bakir serta Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Datuk Amiruddin Abdul Satar. - Utusan Malaysia |