KPJ Healthcare Berhad

A leader in Malaysia's challenging healthcare services industry

News Detail:

KEMPEN KESEDARAN KANSER PAYU DARA DAPAT SAMBUTAN

Utusan Malaysia - Kempen Kesedaran Kanser Payu Dara Yayasan Pink Ribbon Deeds (PRIDE) yang diadakan di Pasaraya Giant Senawang di sini hari ini mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

23-06-2008

SEREMBAN 8 Jun - Kempen Kesedaran Kanser Payu Dara Yayasan Pink Ribbon Deeds (PRIDE) yang diadakan di Pasaraya Giant Senawang di sini hari ini mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.


Pengurus Pemasaran dan Komunikasi PRIDE, Carol Pelly berkata, kempen sehari itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang bahaya kanser payu dara kepada semua golongan terutama wanita.


Beliau berkata, ramai wanita mengetahui tentang bahaya kanser payu dara tetapi kurang pengetahuan mengenai pemeriksaan serta pencegahan mengenainya.


''Kita juga memberi penerangan kepada golongan lelaki bahawa mereka juga berisiko mendapat kanser payu dara walaupun bilangannya sedikit berbanding golongan wanita," katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.


Beliau menambah, kempen berkenaan sebelum ini hanya diadakan di Lembah Klang dan pada tahun ini yayasan ingin mengubah strategi menjelajah ke seluruh negara untuk memastikan statistik pesakit kanser payu dara dapat dikurangkan.


"Kempen tersebut turut mendapat kerjasama KPJ Healthcare Berhad yang memberi nasihat kesihatan kepada pengunjung serta syarikat-syarikat swasta lain," tambahnya.


Sementara itu, seorang pengunjung, Nur Aishah Hashim, 27, berkata, pameran yang diadakan dapat memberi pengetahuan kepada golongan wanita tentang cara pemeriksaan payu dara dengan betul.


''Walaupun golongan wanita berumur 40 tahun ke atas berisiko mendapat kanser payu dara tetapi golongan muda juga tidak terkecuali boleh mendapat kanser payu dara sekiranya tidak dicegah lebih awal.


''Dalam pada itu, pameran ini juga memberi semangat kepada pesakit-pesakit kanser payu dara bahawa masih ada harapan untuk pulih apabila mendengar pengalaman bekas pesakit-pesakit kanser payu dara," katanya.


Bagi David Lim, 30, pula, beliau baru mengetahui bahawa golongan lelaki juga berisiko mendapat kanser payu dara.


''Pada mulanya, saya menjangkakan hanya golongan wanita sahaja yang terdedah kepada kanser ini tetapi golongan lelaki juga tidak terkecuali," katanya



BACK