KPJ Healthcare Berhad

A leader in Malaysia's challenging healthcare services industry

News Detail:

Dilengkapi peralatan rawatan bertaraf dunia

09-02-2018

JOHOR BAHRU – Hospital Pakar Johor membelanjakan RM1.3 juta untuk mengubahsuai Pusat Radioterapi dan Onkologi sebagai menyediakan perkhidmatan rawatan kanser yang komprehensif.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Datuk Amiruddin Abdul Satar berkata, ia merangkumi radioterapi, kemoterapi, terapi biologi, terapi hormon serta penjagaan paliatif.

Menurutnya, pusat itu kini dilengkapi peralatan berteknologi tinggi iaitu Elekta Linear Accelerator (Linac) dan PET (Positron Emission Tomography)-CT (Computed Tomography) Scanner yang bernilai RM17 juta.

“Pusat ini mula beroperasi pada Disember 2002 dengan pelaburan RM11 juta bagi menempatkan peralatan dan fasiliti. Setakat ini lebih 17,000 pesakit bagi rawatan kemoterapi dan lebih 52,000 pesakit bagi rawatan radioterapi mendapat rawatan sejak pembukaannya.

“Demi memastikan pesakit kanser menerima rawatan secara holistik dalam suasana yang lebih kondusif dan selesa, pusat ini melalui proses pengubahsuaian dan dinaiktarafkan sejak Oktober tahun lepas membabitkan peruntukkan sebanyak RM1.3 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Majlis Pra-perasmian Pusat Radioterapi dan Onkologi yang dilengkapi peralatan canggih dan infrastruktur bertaraf dunia di Hospital Pakar Johor, di sini, kelmarin.

Amiruddin berkata, menerusi penggunaan Linac, ia mampu memberi rawatan kanser dengan lebih tepat dan selamat.

“Teknik rawatan radioterapinya memberikan dos rawatan lebih tinggi bagi memastikan kesemua sel kanser dapat dimusnahkan.“Dengan ini, kesan sampingan jangka pendek serta panjang rawatan radioterapi mampu dikurangkan seminimum mungkin,” katanya.

Beliau berkata, PET-CT Scanner adalah modaliti pengimejan nuklear yang digunakan untuk mengkaji fungsi molekul sel-sel berpenyakit yang aktif terutamanya kanser.

“Ia membolehkan pengesanan awal dan diagnosis yang mana sekiranya pengesanan awal dilakukan, maka baik pulih dapat dipulihkan,” katanya. - Sinar Harian







BACK