Kementerian kesihatan cadang guna sistem IBM Watson |
10-02-2018 |
KUALA LUMPUR 10 Feb. - Kementerian kesihatan bercadang menggunakan IBM Watson iaitu sistem pengurusan pesakit kanser menerusi penggunaan teknologi perubatan moden bagi keenam-enam pusat rawatan kanser di seluruh negara. Bagaimanapun, menurut Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Azman Abu Bakar berkata, keputusan berkenaan perlu diteliti terlebih dahulu bagi memastikan sistem berkenaan benar-benar membantu kementerian kesihatan mencari maklumat mengenai rawatan kanser dengan lebih baik. “Kita sudah mengenai sesi perbincangan dan pembentangan dengan KPJ Healtcare untuk melihat proses dan penggunaan sistem ini. “Jadi, apa yang saya boleh katakan, kita perlu meneliti terlebih dahulu keberkesannya dan keputusan untuk mengunakannya terlalu awal untuk diperkatakan tetapi kita tunggu dan lihat selepas beberapa sesi rundingan,” ujarnya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Kempen Kesedaran dan Penjagaan Kanser Kebangsaan kerjasama KPJ Healtcare dan Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini. Yang turut hadir, Presiden KPJ Healthcare Berhad, Datuk Amiruddin Abdul Satar; Presiden Persatuan Cancercare, Amin Ali Sidik dan Dekan Fakulti Sains Kesihatan UKM, Prof. Dr. Barish Mohd Ali. Sementara itu, mengulas lanjut mengenai laporan maklumat palsu mengenai penjagaan dan rawatan kesihatan yang tular di media sosial baru-baru ini, Dr. Azman memberitahu orang ramai dinasihatkan untuk tidak terlalu percaya dengan sesuatu perkongsian itu. Katanya, orang ramai disaran untuk berjumpa dengan doktor terlebih dahulu bagi mengelakkan ditipu sekali gus mampu memudaratkan kesihatan mereka. “Kita tahu ada di antara masyarakat kita ini terpedaya dengan maklumat-maklumat yang mereka lihat di sosial media, tetapi percayalah apa yang mereka dapat itu tidak semestinya betul,” katanya. - UTUSAN ONLINE |