KPJ Healthcare Berhad

A leader in Malaysia's challenging healthcare services industry

News Detail:

KPJUC Tawar Pengajian Perubatan Pascasiswazah

17-02-2018

Fakulti Perubatan Kolej Universiti KPJ (KPJUC) merupakan institusi pengajian tinggi (IPT) swasta pertama menyediakan program pengajian perubatan peringkat pascasiswazah di negara ini.

Timbalan Dekan Fakulti Perubatan KPJUC, Dr. Muneerah Jamil berkata, program tersebut sebelum ini hanya ditawarkan di IPT awam.

“KPJUC mula menawarkan program pengajian Sarjana Otorinolaringologi Bedah Kepala dan Leher pada 2014 dengan kolaborasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selepas merangka program inovatif bagi latihan kepakaran berkualiti di hospital swasta.

“KPJUC membawakan kokurikulum yang sama seperti pengajian Fakulti Perubatan UKM dan telah mendapat kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya ketika ditemui di Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Pada mulanya Dr. Muneerah berkata, program awal itu disertai tiga doktor yang mendaftar sebagai doktor pascasiswazah pertama dalam program latihan kepakaran perubatan.

Program empat tahun itu kata­nya, melatih mereka menjadi doktor pakar telinga, hidung dan tekak dan ditempatkan di tiga hospital utama KPJ iaitu Hospital Pakar KPJ Damansara, Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri dan Hospital Pakar KPJ Ta­wakkal.

“KPJ yakin program ini dapat melahirkan lebih ramai tenaga pakar dalam usaha menambah bilangan profesional dalam bidang berkenaan.

“Mereka dilatih oleh 10 hingga 12 pakar telinga hidung dan tekak KPJ menerusi kaedah mentor serta hands-on apprenticeship, selain turut ditempatkan di Pusat Perubatan UKM untuk latihan,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, setakat ini KPJUC mempunyai 17 orang pelajar perubatan dan setiap pengambilan hanya menetapkan tiga hingga lima pelajar.

Selain program Sarjana Otorinola­ringologi Bedah Kepala dan Leher, KPJUC turut menawarkan program Sarjana Radiologi, Sarjana Pembedahan Am serta Sarjana Ortopedik.Kesemua program tersebut menawarkan pengajian selama empat tahun atau lapan semester dengan yuran pengajian antara RM200,000 hingga RM350,000 mengikut kepakaran.Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh hubungi KPJUC di talian 1-300-88-5758 atau layari ?www.kpjuc.edu.my.- Utusan Malaysia



BACK