JOHOR BAHRU-Johor Corporation (JCorp) akan menganjurkan Seminar Wakaf Antarabangsa 2008 bertajuk 'Memperkasakan Sosial dan Ekonomi Ummah' di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini pada 11 dan 12 Ogos ini.Seminar dua hari itu merupakan kerjasama antara Kumpulan Waqaf An-Nur Bhd., dengan Jabatan Zakat, Wakaf dan Haji (Jawhar) di Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Ketua Pegawai Eksekutif JCorp, Tan Sri Muhammad Ali Hashim dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan berkongsi pengalaman dalam melaksanakan konsep wakaf korporatnya yang telah diperkenalkan sejak 2006 dalam Tiram Travel Sdn. Bhd., diikuti penwakafan sejumlah RM200 juta saham dalam Kulim (Malaysia) Bhd., KPJ Healthcare Bhd., dan Johor Land Bhd., pada 3 Ogos tahun yang sama.
Pada seminar itu, tujuh kertas kerja akan dibentangkan, antaranya oleh Ketua Pengarah IKIM, Datuk Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas; pakar sejarah ekonomi perbandingan di Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF), Prof. Dr. Murat Cizakca dan Pengerusi dan Pengasas, Social Investment Bank Ltd. Bangladesh, Prof. Dr. M.A Mannan.
Selain itu Ketua Pengarah Jawhar, Nik Mustapha Nik Hassan dan Ketua Dana Pelaburan Harta Awqaf, Bahagian Pengurusan Aset, Bank Pembangunan Islam (IDB), Dr. Hisham Dafterdar akan turut membentangkan kertas-kerja masing-masing.
Seminar itu dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
|