KLINIK BERGERAK IMARET |
20-03-2018 |
Bergerak sebagai bantuan sukarelawan pengamal perubatan ketika banjir besar di Kelantan dan negeri sebelah pantai timur pada 2014, Pasukan Tindak Balas dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia atau lebih dikenali sebagai IMARET kini sudah melaksanakan lebih 80 misi bantuan perubatan di dalam dan luar negara.
DOWNLOAD PDF Fokus utama pasukan ini ialah memberi bantuan perubatan dan kesihatan kepada mangsa bencana dan masyarakat yang terpinggir antaranya pelarian dan Orang Asli berikutan akses mereka sangat terhad kepada kemudahan kesihatan asas. Malah, Oktober tahun lalu, badan bukan kerajaan (NGO) itu tidak melepaskan peluang untuk menjalankan misi peringkat antarabangsa menerusi Kempen Kemanusiaan ke Kem Pelarian di wilayah Cox’s Bazar Bangladesh. Dalam misi terbabit sembilan pasukan sukarelawan IMARET memberi perkhidmatan kesihatan ke lokasi capaian lebih sukar iaitu Thaingkhali yang bersebelahan kem utama Kutupalong dan Balukhali dalam usaha membantu golongan memerlukan. Ketua Koordinator IMARET, Dr Munawwar Helmi Salim menyifatkan ketika ini klinik bergerak menjadi nadi utama kepada setiap misi kemanusiaan IMARET yang memerlukan pihaknya meningkatkan fasiliti terutama kenderaan bagi membolehkan mereka sampai ke pelosok pedalaman. |