Mahabbah Walk 2018 hangat |
Berjaya kumpulkan dana RM45,000 untuk biayai keperluan pusat dialisis Mais |
26-03-2018 |
Kira-kira 1,000 peserta menyertai Larian Amal ‘Mahabbah Walk 2018’ bertemakan ‘Gaya Hidup Sihat, Untuk Buah Pinggang Sihat’ bertempat di Taman Botani Negara, di sini, semalam. Program tersebut turut diadaka bersempena sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia yang jatuh pada bulan Mac setiap tahun. Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide), Ami Nardin Ishak berkata, larian amal itu merupakan penganjuran kali kedua tahun ini oleh pihaknya bertujuan mengumpul dana bagi membiayai keperluan pusat dialisis Majlis Agama Islam Selangor (Mais) di bawah selian Yide. Beliau berkata, program diserikan dengan kehadiran Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang mencemar duli menyertai larian amal itu, selain penampilan penyerang bola sepak pasukan PKNS FC, Safee Sali serta rakan pasukan. Menurutnya, penyertaan diterima untuk larian pada tahun ini juga sangat menggalakkan berbanding tahun lalu. "Selain orang awam, kakitangan Mais antaranya Kolej Universiti Islam Antarabangsa (Kuis) dan Teraju Ekonomi Asnaf (Teras) serta agensi-agensi korporat turut terlibat memberi sokongan. “Selain itu, pesakit dialisis dan orang kelainan upaya (OKU), mualaf dan anak-anak yatim turut menyertai larian sejauh lima kilometer itu bagi memeriahkan program," katanya selepas larian berakhir kirakira jam 9 pagi, semalam. Terdahulu, Tengku Amir Shah berkenan menerima replika cek daripada penyumbang Mahabbah Walk 2018 antaranya Worldwide Holdings Berhad, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Suasa Efektif (M) Sdn Bhd dan KPJ Tawakkal Specialist Hospital. Katanya, hasil dari penajaan dan yuran penyertaan orang ramai, pihaknya berjaya mengumpulkan sebanyak RM45,000 semalam dan kesemua wang tersebut akan disalurkan ke Pusat Dialisis Mais bagi membiayai pembelian mesin hemodialisis dengan menggantikan mesin lama yang kerap rosak. "Yide sangat berterima kasih terhadap sokongan diterima daripada masyarakat serta penyumbang yang hadir pada hari ini (semalam),"katanya. Menurutnya prorgam seperti dirancang diadakan akan datang. |
|