KPJ Healthcare Berhad

A leader in Malaysia's challenging healthcare services industry

News Detail:

SASAR REIT ISLAM TERBESAR

Utusan Malaysia - Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) Al- Aqar KPJ bakal melepasi sasaran saiz keseluruhan aset bernilai RM1 bilion menjelang akhir tahun ini.

19-08-2008

KUALA LUMPUR:19 Ogos - Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) Al- Aqar KPJ bakal melepasi sasaran saiz keseluruhan aset bernilai RM1 bilion menjelang akhir tahun ini.
Sebelas asetnya pada masa ini bernilai RM651.5 juta dan hari ini ia menambah sembilan lagi melalui pembelian daripada KPJ Healthcare. Bagaimanapun, urus niaga itu akan hanya selesai pada akhir tahun ini.

Al-Aqar, REIT Penjagaan Kesihatan Islam pertama di Malaysia, sebelum ini membeli 11 aset itu daripada KPJ Healthcare Bhd. Ia juga merupakan satu daripada dua REIT Islam di negara ini. Keseluruhan pertimbangan penjualan bagi kesemua sembilan pengambilalihan baru itu berjumlah RM392.9 juta, dan akan dilunaskan sebahagiannya melalui bayaran tunai berjumlah RM250 juta dan melalui terbitan 151.446 juta unit baru pada harga terbitan 95 sen seunit. Pengerusi KPJ Healthcare, Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata, dana yang dikumpul daripada penjualan sembilan harta itu kepada Al-Aqar, akan digunakan bagi merebut peluang pelaburan strategik dan bagi mengurangkan pinjaman kumpulan itu kepada 0.3 kali daripada 0.5 kali sebelumnya.

"Dengan pelaksanaan REIT ini, kumpulan ini boleh memberikan tumpuan kepada kegiatan terasnya iaitu perkhidmatan pengurusan hospital. Rakyat Malaysia patut mendapatkan penjagaan kesihatan yang lebih baik dan kami menjangkakan bilangan hospital yang ada akan bertambah," katanya pada taklimat mengenai REIT Al-Aqar di sini hari ini.
Menurut beliau, Al-Aqar akan muncul sebagai REIT Islam terbesar di negara ini apabila ia melepasi sasaran saiz aset RM1 bilion dan ini akan kelihatan menarik bagi pelabur asing.

Tujuh buah hospital adalah antara harta baru yang dimasukkan dalam REIT iaitu Hospital Pakar Seremban, Pusat Perubatan Taiping, Hospital Pakar Kota Kinabalu, Hospital Pakar Bukit Mertajam, Bangunan Baru Hospital Pakar KPJ Tawakal, Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang dan Kolej Kejururawatan dan Kesihatan Antarabangsa PNC di Nilai.
Dua lagi harta ialah Hotel Selesa dan Metropolis Tower di Johor Bahru.

Meskipun bukan bangunan hospital namun kedua-duanya melengkapi industri pelancongan.
Selesa Hotel diberikan pensijilan halal oleh Jabatan Agama Johor pada November 2006. Ia memberi perkhidmatan kepada pelancong kesihatan manakala menara pejabat menempatkan kolej kejururawatan KPJ.

Muhammad Ali berkata, pendapatan REIT itu akan juga membolehkan kumpulan itu menggerak atur sumber-sumbernya dan mempertimbang pelawaan yang begitu banyak daripada bakal rakan kongsi untuk menguruskan atau memiliki perniagaan hospital di dalam dan luar negara.

"Kami ingin membina atau membeli banyak lagi hospital baru jika perlu," katanya.
Beliau berkata, kumpulan itu mempunyai rizab tunai berjumlah RM200 juta hingga RM300 juta bagi melaksanakan projek baru atau mengambil alih malah juga tidak menolak kemungkinan mengurangkan kepentingannya dalam Al-Aqar yang berjumlah 49 peratus itu bagi tujuan pembiayaan.

REIT Al-Aqar KPJ diuruskan oleh Damansara REIT Managers Sdn. Bhd. Ketua Pegawai Eksekutif Damansara REIT Managers, Yusaini Sidek berkata, AL-Aqar akan mengisytiharkan dividen sebanyak empat sen seunit bagi tempoh awal kewangannya yang berakhir 30 Jun 2008 iaitu lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada 2007.
"Bagi 2008, REIT Al-Aqar KPJ mengunjurkan prestasi yang lebih baik daripada dividen 7.32 sen yang kami bayar pada 2007," tegasnya.



BACK