RANGKAIAN HOSPITAL KPJ PILIHAN RAKYAT INDONESIA |
06-10-2018 |
JOHOR BAHRU, 6 OKT 2018: Hospital Pakar KPJ Johor, salah sebuah hospital dalam Kumpulan KPJ Healthcare Berhad (KPJ) di Negeri Johor Darul Takzim, telah menerima kunjungan pengamal media dari Batam, Indonesia hari ini, sempena lawatan mereka ke negeri ini. Lawatan tersebut adalah anjuran Tourism Johor, dan meliputi aktiviti lawatan, promosi, interaksi serta perbincangan dua hala. Seramai 35 orang wakil media dari negara jiran tersebut telah turut serta dalam sesi lawatan kali ini. Kunjungan ke KPJ Johor ini bertujuan untuk berkongsi maklumat mengenai perkhidmatannya yang terbaru, seiring inisiatif Johor menjadi hab pelancongan kesihatan terutamanya bagi para pesakit dari kepulauan Batam, Riau serta Sumatera. Majlis ini dihadiri oleh Yang Berhormat Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim, Presiden & Ketua Eksekutif, Johor Corporation (JCorp) merangkap Pengerusi KPJ, serta barisan kepimpinan Kumpulan JCorp. Menurut Dato’ Kamaruzzaman, kehadiran pelancong kesihatan dari Indonesia ke hospital KPJ menunjukkan peningkatan apabila 48,969 orang mendapatkan rawatan dan pemeriksaan kesihatan sepanjang tahun 2017 berbanding 46,288 orang pada tahun 2016. Pertambahan pelancong kesihatan dari Indonesia adalah hasil daripada keberkesanan promosi dan pemasaran yang dilakukan dengan kerjasama erat Tourism Johor. Faktor lain yang menggamit pelancong kesihatan Indonesia ke Johor termasuklah nilai matawang antara kedua-dua negara yang kompetetif, selain persamaan agama, bahasa, budaya dan adat resam, makanan serta faktor keselamatan sepanjang mereka mendapat rawatan di negara ini. Tarikan lain termasuklah lokasi Johor Bahru sebagai bandaraya yang paling hampir dengan Batam - selain infrastrukturnya yang moden dengan pelbagai produk pelancongan seperti gedung beli-belah, hotel serta taman tema bertaraf antarabangsa. Seiring dengan komitmen KPJ memantapkan hubungan akrab dengan komuniti di Indonesia, beberapa pusat informasi akan dibuka di lokasi-lokasi terpilih di republik itu. Sehingga kini, KPJ mempunyai 7 buah pusat informasi sedia ada di Indonesia, sementara pusat ke 8 akan dibuka di Batam pada hari Khamis, 18 Oktober 2018.. Sementara itu, Pengarah Eksekutif KPJ Johor, Tuan Haji Asmadi Mohd. Bakri, menjelaskan bahawa KPJ menyediakan rawatan dan pemeriksaan kesihatan dengan caj yang kompetitif, malah lebih berbaloi dari segi nilai harga, berbanding caj perkhidmartan serupa di Singapura. Senario ini dijangka akan meningkatkan lagi bilangan warga Indonesia yang kini merupakan kumpulan pelancong kesihatan terbesar, di mana hampir 100,000 warga republik itu memilih untuk datang ke rangkaian hospital KPJ dalam tempoh dua tahun ini. Selain Indonesia, rakyat China, India, Somalia, Singapura dan Bangladesh adalah antara lebih 320,000 orang dari 20 negara yang menyertai pelancongan kesihatan bagi tempoh dua tahun lalu di rangkaian hospital pakar KPJ di seluruh negara. KPJ adalah syarikat Kumpulan Johor Corporation yang mempunyai 25 hospital pakar di Malaysia; dua di Jakarta, Indonesia; satu di Bangladesh dan sebuah lagi di Thailand. Di samping itu, KPJ mempunyai 4 pusat penjagaan warga emas, masing-masing terletak di Kuala Lumpur, Sarawak, Pahang dan Australia. Kelebihan KPJ juga adalah pengalamannya yang menjangkau lebih 37 tahun dalam sektor perkhidmatan kesihatan swasta, dengan membariskan lebih 1,200 konsultan perubatan serta 13,000 anggota pekerja. |