KPJ Healthcare Berhad

A leader in Malaysia's challenging healthcare services industry

News Detail:

Wanita lebih banyak minum susu berbanding lelaki

13-07-2018

Diet seimbang dan menyihatkan memerlukan pelbagai pilihan makanan daripada setiap kumpulan makanan yang berlainan termasuk sumber tenusu seperti susu.

Pengambilan susu bergantung kepada usia. Jika bayi memerlukan susu untuk pembesaran mereka, kanak-kanak dan orang dewasa turut perlu minum antara dua sehingga tiga gelas sehari.

Ahli Dietetik Hospital Pakar KPJ Damansara, Farah Farhanah Hashim berkata, menurut saranan pengambilan nutrisi (RNI) yang dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan, lelaki yang berusia 10 hingga 18 tahun memerlukan tiga gelas susu sehari.

Ia bersamaan dengan 1,300 miligram (mg) kalsium. Begitupun, kadar tersebut berkurangan kepada dua gelas apabila golongan tersebut berusia 19 hingga 65 tahun ke atas.

Sementara itu, bagi wanita, jumlah pengambilan susu yang dicadangkan ketika mereka berumur 10 hingga 18 tahun ialah tiga gelas sehari. Apabila usia meningkat dari 19 ke 50 tahun mereka boleh mengurangkan pengambilan kepada dua gelas sehari atau 1,000mg kalsium.

“Wanita dicadangkan meningkatkan kembali pengambilan susu kepada tiga gelas apabila mereka berusia 51 tahun ke atas. Ini bagi mengurangkan risiko osteoporosis atau masalah tulang rapuh yang sering berlaku kepada kaum Hawa.

“Dalam hal ini khasiat yang terkandung dalam segelas susu yang berjumlah 240 mililiter bersamaan dengan dua keping keju dan satu per tiga cawan yogurt.

“Justeru, orang ramai boleh mempelbagaikan sumber kalsium mereka mengikut kadar yang disarankan,” ujarnya kepada pemberita pada sesi taklimat nutrisi tenusu melalui produk sihat halalan toyyiban Fonterra Brands (Malaysia) Sdn. Bhd. (Fonterra) di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Katanya, berdasarkan pemerhatian, wanita minum lebih banyak susu berbanding lelaki. Dalam hal ini, lelaki lebih gemar mengambil susu krimer pekat manis yang tinggi kadar gula.
Faktor

Menurut Farah Farhanah, rasa tidak selesa pada perut, cirit-birit, mual merupakan antara faktor sesetengah orang tidak gemar minum susu dan ia mungkin disebabkan faktor intolerans laktosa.

Ia terjadi disebabkan oleh masalah kekurangan laktase iaitu sejenis enzim yang dihasilkan oleh lapisan usus kecil manusia.

Laktase berperanan menguraikan laktosa bagi membolehkan ia diserap ke dalam saluran darah anda. Kekurangan laktase mencetuskan masalah dalam pemecahan dan penyerapan gula susu.

“Ia boleh menjadi situasi sementara dengan pengambilan susu secara konsisten. Tetapi mereka perlu mendapat pengesahan doktor punca masalah tersebut kerana masalah kesihatan lain seperti alergi susu dikhuatiri boleh memberi kemudaratan pada tubuh,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Perhubungan Koperasi­ Fonterra, Manisya Ismail berkata, secara purata seorang rakyat Malaysa minum 44 liter susu setahun.

Katanya, jika ingin dibandingkan dengan negara jiran seperti Singapura, pengambilan susu ialah 61 liter seorang dalam tempoh yang sama.

Tambahnya, di negara pengeluar tenusu seperti New Zealand, secara purata dianggarkan 270 liter pengambilan susu tahunan direkodkan oleh seorang rakyat di negara tersebut.

“Begitupun, kami melihat trend pengambilan produk tenusu dalam kalangan rakyat Malaysia kian menunjukkan peningkatan.

“Justeru, sebagai meme­nuhi komitmen syarikat untuk menawarkan produk tenusu berstatus halal, setiap tahun Fonterra membuat pelaburan berterusan termasuk dalam penyelidikan dan pembangunan bagi memastikan produk yang dihasilkan adalah memenuhi standard halal yang ketat,” tuturnya.



BACK