KPJ Healthcare Berhad

A leader in Malaysia's challenging healthcare services industry

News Detail:

Ventilator pengganti paru-paru pesakit tenat, koma

15-07-2018

Tentu anda pernah melihat sebuah mesin di Unit Penjagaan Rapi ( ICU ) dan terdapat saluran wayar dan tiub menutup bahagian mulut pesakit yang terbaring dan tidak sedarkan diri. Mesin ini mengandungi udara yang boleh dimampatkan, turbin, udara dan gas oksigen, set tiub serta injap.

Ventilator juga dilengkapi dengan sistem monitor dan sistem penggera untuk sesetengah parameter seperti tekanan, isi padu dan pengaliran serta fungsi-fungsi lain seperti kebocoran udara, kegagalan kuasa dan kegagalan mekanikal dan juga bateri tambahan, tangki oksigen serta alat kawalan.

Menurut Pakar Bius dan intensivist Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Dr. Vineya Rai Hakumat Rai, ventilator merupakan alat yang umumnya digunakan di ICU hospital. Mesin ini merupakan alat yang digunakan untuk membantu pernafasan pesakit.

“Secara umumnya, ventilator mempunyai beberapa fungsi termasuk membantu mengantarkan oksigen ke paru–paru, mengeluarkan karbon dioksida dari dalam tubuh (karbon dioksida merupakan hasil akhir pernafasan yang bersifat racun apabila jumlahnya terlalu banyak dalam tubuh), membantu pesakit bernafas lebih mudah dan alat pernafasan bagi pesakit yang kehilangan kemampuan untuk bernafas seperti pesakit tenat dan koma,” katanya.

Tambah beliau, ventilator digunakan pada pesakit yang mempunyai keadaan paru–paru yang kronik atau sukar bernafas. Dalam konteks ini, ventilator digunakan pada pesakit dengan tujuan untuk mempermudahkan pernafasan atau menjadi alat pernafasan bagi pesakit yang tidak dapat bernafas sendiri. Umumnya, ventilator digunakan untuk sementara atau hingga pesakit pulih dan dapat bernafas dengan baik walaupun terdapat keadaan tertentu, ventilator menjadi alat yang digunakan seumur hidup. Ini bermakna ventilator dapat digunakan di rumah atau rawatan jangka masa panjang.

Dalam pada itu, ventilator juga digunakan dalam jangka pendek seperti dalam prosedur pembedahan apabila pesakit dalam pengaruh anestesi (pelali sedutan) dan ventilator membantu pesakit untuk tetap bernafas. Selepas pengaruh anestesi berkurang dan pesakit mulai dapat bernafas secara normal, ventilator dilepaskan sehingga selesai pembedahan. Namun, pada beberapa prosedur pembedahan, ventilator tetap dipasang pada pesakit selama beberapa jam hingga beberapa hari.

“Kebanyakan orang tidak faham fungsi alat bantuan pernafasan ini. Alat ini bukan merawat penyakit secara khusus, sebaliknya hanya membantu pesakit bernafas sementara menunggu pesakit pulih daripada penyakitnya. Pada keadaan tertentu, alat ini dipasang sementara ubat bertindak balas merawat penyakit. Jika didapati penyakit pesakit tidak dapat dirawat dan pesakit tidak akan pulih,setelah berbincang dengan ahi keluarga,alat ini mungkin akan dicabut.

“Kebiasaannya, alat ini membantu pesakit tenat akibat masalah paru-paru, jantung, koma (tidak sedar diri), kecedraan otak dan jangkitan kuman. Terdapat juga kes, pesakit koma yang diberikan bantuan pernafasan bertambah tenat atau mati otak. Mati otak adalah apabila pemberhentian secara kekal fungsi otak secara keseluruhan termasuk bahagian pangkal otak yang berperanan mengekalkan proses pernafasan secara spontan dan mengekalkan fungsi pam jantung. Kematian ini hanya disahkan melalui kriteria pemeriksaan saraf atau fungsi otak apabila kaedah pernafasan dan denyutan jantung tidak dapat digunakan lagi,” jelasnya.

“Puan, suami puan tidak sedarkan diri dan masih memerlukan bantuan pernafasan”. Sering kali waris pesakit menerima berita daripada doktor berkenaan bantuan pernafasan atau lebih dikenali sebagai ventilator. Pasti ramai yang tertanya-tanya tujuan prosedur ini dijalankan.

Jenis–jenis alat bantuan pernafasan:

Alat bantuan penafasan ini terbahagi kepada dua jenis iaitu alat bantuan pernafasan anestesia dan alat bantuan pernafasan penjagaan rapi.

Alat bantuan pernafasan anestesia selalunya digunakan untuk membekalkan gas oksigen dan gas anestesia kepada pesakit ketika operasi pembedahan dilakukan. Semasa pembedahan dilakukan pesakit berada dalam keadaan tidak sedar dan paru-paru pesakit tidak kuat untuk menghirup udara yang mencukupi. Jadi dengan bantuan mesin ini , gas oksigen akan dibekalkan dengan isipadu yang secukupnya kepada pesakit walaupun kadar penghirupan adalah minimum.

Alat bantuan pernafasan penjagaan rapi (Intensive Care )selalunya digunakan secara sementara untuk membekalkan oksigen kepada pesakit-pesakit yang berada di wad-wad sakit. Tujuan mesin digunakan adalah untuk membantu pesakit yang tidak dapat bernafas secara normal seperti selepas kemalangan, selepas pembedahan, koma, jangkitan paru-paru atau sepsis. - Utusan Malaysia



BACK