KPJ Healthcare Berhad

A leader in Malaysia's challenging healthcare services industry

News Detail:

Hospital Pakar KPJ Johor sasar jumlah pelanggan

20-07-2018

JOHOR BAHRU 19 Julai - Hospital Pakar KPJ Johor, hospital pakar pertama di negeri ini menyasarkan peningkatan jumlah pesakit dalam wad sebanyak 23 peratus, iaitu 26,000 orang berbanding 21,000 pada tahun lalu dengan pembukaan wad baharunya. Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Bhd., Datuk Amiruddin Abdul Satar berkata, pembukaan wad baharu itu menempatkan 31 katil, menjadikan jumlah keseluruhan katil berlesen sebanyak 274 buah.

Menurutnya, pembukaan wad baharu itu melibatkan tingkat 5, 6 dan 7 di menara baharu yang dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2020.

"KPJ Johor menapak selangkah lagi untuk mengukuhkan kedudukan sebagai penyedia perkhidmatan yang ternama di Johor," katanya dalam Majlis Pelancaran Menara Wad Baharu Hospital Pakar KPJ Johor yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal: Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Azmi Rohani serta Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim yang juga Pengerusi KPJ Healthcare.

Amiruddin berkata, menara baharu itu bakal menempatkan menempatkan perkhidmatan kecemasan dan kemalangan yang luas dan selesa, wad harian serta memperluaskan Unit Rawatan Rapi (ICU) dan Jabatan Bedah dengan kerja pengubahsuaian dijangka dimulakan awal tahun depan.

"Kami berharap dengan pembukaan menara ini, permintaan untuk katil dua orang dalam sebuah bilik terutamanya untuk pesakit daripada kategori pendapatan sederhana dan pemegang insurans akan dapat dipenuhi," katanya.

Beliau berkata, sebagai sebuah hospital swasta bertaraf antarabangsa, keselesaan pelanggan amat dititikberatkan, sekali gus pihaknya komited untuk menaik taraf perkhidmatan dan fasiliti supaya seimbang dengan permintaan pelanggan dari dalam mahupun luar negara.- Utusan Malaysia



BACK