Raja Muda Perlis lawat KPJ Perlis |
12-10-2018 |
KANGAR 12 Okt. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail meluangkan masa mendengar taklimat khas mengenai pengoperasian Hospital pakar KPJ Perlis di dewan kayangan hospital berkenaan di sini semalam. Taklimat mengenai hospital swasta pertama di negeri itu dipersembahkan oleh Pengurus Besar KPJ Perlis, Sharian Hussain. Turut hadir mengiringi baginda ialah Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Sirajuddin Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazim Mohd Noor. Baginda turut meluangkan masa melawat pelbagai kemudahan dan fasiliti yang disediakan di hospital yang terletak di Jalan Datuk Wan Ahmad di sini itu. Terdahulu baginda turut berkenan menyertai kayuhan berbasikal anjuran KPJ Perlis dengan kerjasama MAIPs yang disekalikan dengan program MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ kali ke-74 yang bermula di Masjid Al Ariffin Padang Katong di sini dan berakhir di perkarangan hospital tersebut. KPJ Perlis turut menyumbangkan baucar pakej Executive Health Screening Platinum bernilai RM285 setiap seorang kepada tiga asnaf. Dalam pada itu, majlis perasmian hospital itu akan disempurnakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid pada 1 November depan. Untuk rekod, hospital tersebut mula beroperasi pada 17 Mei lalu iaitu mengambil sempena hari ulang tahun keputeraan Raja Perlis pada tarikh itu. - UTUSAN ONLINE |