KPJ Healthcare Berhad

A leader in Malaysia's challenging healthcare services industry

News Detail:

TIDAK PANDAI MENGELUARKAN KAHAK IBU BAPA PERLU CEPAT BERTINDAK

09-08-2018

Soalan :
Anak saya mengalami batuk berkahak melebihi tempoh sebulan yang lalu dan belum mengambil apa-apa antibiotik. Pernafasannya berbunyi terutama di waktu malam. Dia juga tidak pandai mengeluarkan kahak sendiri dan ini menjadi masalah kepada pengumpulan kahak yang menyebabkan masalah pernafasan. Doktor, adakah batuk anak saya ini dikira sebagai kronik? Adakah ini permulaan kepada penyakit asma?

Jawapan Dr Rosni Jamalludin : 

Tiada sesiapa harus batuk selama sebulan. Bawalah anak puan berjumpa doktor untuk pemeriksaan yang lebih terperinci. Doktor akan terlebih dahulu bertanyakan sejarah perubatan yang lebih lengkap seperti bila anak puan batuk dengan lebih teruk, adakah lebih teruk di waktu-waktu tertentu seperti sebelah malam atau semasa bermain atau tertawa? Adakah batuknya juga semakin teruk selepas mengambil makanan atau minuman tertentu, semasa cuaca hari terlalu panas atau terlalu sejuk seperti hari hujan. Soalan-soalan tersebut lebih merujuk kepada gejala penyakit asma dan sekiranya ada, doktor akan memeriksa dada anak puan untuk tanda-tanda fizikal asma seperti lekuk di bahagian bawah dada (Harrison’s sulci), paru-paru anak puan untuk cuba mendengar bunyi wheezing serta tanda-tanda alahan seperti masalah kulit seperti ekzema.

Sekiranya anak puan kerap demam atau demam berulang kali sepanjang tempoh batuk tersebut, doktor mungkin akan memikirkan diagnosis jangkitan paru-paru (pneumonia). Pemeriksaan dada mungkin menunjukkan kualiti bunyi pernafasan yang tidak normal, serta terdapat bunyi kahak yang ketara di sebahagian paru-paru yang terlibat. Sekiranya demikian, doktor akan mengesyorkan untuk menjalani x-ray paru-paru (chest x-ray) untuk mempastikan diagnosis pneumonia.

S&J PEDIATRIK
Seterusnya jika disahkan jangkitan paru-paru, doktor akan mengesyorkan rawatan antibiotik yang bersesuaian. Rawatan untuk pneumonia boleh diberikan secara pesakit luar ataupun dipantau di wad bergantung kepada keadaan kesihatan dan gejala anak puan, serta keputusan x-ray tersebut. Untuk anak puan yang telah batuk selama sebulan, berkahak dan berbunyi dada di waktu malam, doktor mungkin akan menyarankan untuk dipantau di wad. Setelah semua pemeriksaan dan siasatan dilakukan, anak puan akan diberikan rawatan nebulized bronchodilator, fisioterapi dada dan ubatubatan untuk mengurangkan radang dan kahak. Doktor juga berkemungkinan memulakan rawatan antibiotik. Selain daripada itu, tiub oksigen akan diberikan sekiranya anak puan mengalami kesukaran pernafasan, dan cecair intravena (IV drip) akan dimulakan sekiranya anak puan tidak mampu minum dengan secukupnya. Secara purata, rawatan akan mengambil masa lebih kurang empat hingga lima hari sekiranya tiada apa-apa komplikasi dan anak puan memberikan tindak balas yang baik kepada rawatan. Seterusnya doktor akan merancang untuk rawatan susulan selepas discaj agar keadaan kesihatan anak puan terus dipantau untuk memastikan dia terus sembuh seperti sedia kala. - Pa & Ma
 



BACK