Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang menjadi hospital swasta ketiga di Johor yang diiktiraf sebagai Hospital Rakan Bayi (BFHI) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pengerusi BFHI, Dr Nik Azrita Ariffin berkata, ia hasil usaha berterusan hospital terbabit yang aktif memberi sokongan, galakan dan me - nerapkan ilmu serta me - nganjurkan kempen penyusuan
susu ibu dalam kalangan masyarakat.
Beliau yang juga doktor Pakar Perbidanan dan Sakit Puan di hospital berkenaan berkata, inisiatif untuk menjadi Hospital Rakan Bayi dilancarkan sejak 2016 dan mendapat sambutan menggalakkan pelbagai pihak termasuk Jabatan Kesihatan Johor dan Pusat Laktasi Kebangsaan.
“Antara aktiviti dijalankan ialah memberi pendedahan kursus pengurusan penyusuan, selain komited membantu dan mendidik ibu menyusukan bayi mereka ketika di hospital sebelum meneruskan amalan itu apabila kembali ke rumah hingga anak berusia dua tahun
“Kakitangan turut menjalani latihan selain menghadiri kursus kaunseling dan program pengucapan awam bagi pengisian ilmu penyusuan, ” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Nik Azrita berkata, pihaknya memiliki kelab sokongan dikelolakan Kaunselor Laktasi bagi membantu ibu yang mempunyai masalah menyusu - kan bayi mereka terutama selepas kelahiran atau masalah berkaitan penyusuan .
“Kejayaan hospital berkenaan diharap menjadi inspirasi kepada hospital swasta lain bagi menyertai BFHI bagi menjayakan kempen penyusuan susu ibu. Selaras pengiktirafan ini, diharap masyarakat dapat membantu wanita bekerjaya melaksanakan penyusuan bayi,” katanya .
Pada 6 Ogos lalu diadakan majlis penyerahan plak sijil BFHI oleh Timbalan Pengarah Kesihatan bahagian Perubatan, Dr Izam Sulaiman mewakili Pengarah Kesihatan Johor kepada Pengarah Perubatan KPJ Pasir Gudang Specialist Hospital, Dr Ab Razak Samsudin. Hospital Rakan Bayi adalah satu program antarabangsa dilancarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan mendapat sokongan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak 1992.
Ia bagi memberi galakan supaya semua hospital mengamalkan penyusuan bayi sepenuhnya dengan melatih kakitangan hospital mempraktiskan polisi penyusuan susu ibu - Harian Metro
|