KPJ catat perolehan RM3.3 bilion |
18-04-2019 |
JOHOR BAHRU 18 April - KPJ Healthcare Bhd. (KPJ) mencatatkan kedudukan kewangan yang kukuh bagi tahun kewangan berakhir 2018 dengan merekodkan hasil dan keuntungan tertinggi setakat ini, biarpun berdepan ekonomi mencabar. Presiden dan Pengarah Urusan KPJ, Datuk Amiruddin Abdul Satar berkata, perolehan bagi tahun lalu meningkat sebanyak empat peratus iaitu RM3.3 bilion daripada RM3.2 bilion yang direkodkan pada tahun 2017. “Dengan pencapaian itu, KPJ berjaya merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM186.2 juta pada tahun 2018 berbanding RM166.9 juta pada tahun sebelumnya, peningkatan sebanyak 12 peratus,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KPJ Ke-26 di sini hari ini. Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) merangkap Pengerusi KPJ, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim. Amiruddin berkata, pencapain itu disumbangkan oleh 25 hospital KPJ seluruh negara terutama menerusi peningkatan pelawat selain menyaksikan pertumbuhan beberapa sektor antaranya kekerapan pembedahan dijalankan terutama di KPJ Rawang di Selangor, KPJ Bandar Maharani dan KPJ Pasir Gudang di negeri ini. Tambahnya, bagi meneruskan pencapaian itu, KPJ memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sehingga RM300 juta untuk memperluaskan operasi termasuk membina hospital baharu dan menaik taraf hospital sedia ada bagi memberikan perkhidmatan terbaik mereka. - UTUSAN MALAYSIA |