KPJ Healthcare Berhad

A leader in Malaysia's challenging healthcare services industry

News Detail:

Malaysia berpotensi besar dalam pelancongan perubatan

Sektor pelancongan perubatan negara terus berpotensi untuk menjana ekonomi negara ekoran sambutan menggalakkan daripada warga negara asing yang mencari perkhidmatan kesihatan dan perubatan berkualiti.

26-09-2012

KUALA LUMPUR - Sektor pelancongan perubatan negara terus berpotensi untuk menjana ekonomi negara ekoran sambutan menggalakkan daripada warga negara asing yang mencari perkhidmatan kesihatan dan perubatan berkualiti.
 
Faktor utama yang menjadikan Malaysia lokasi pilihan warga asing yang memerlukan perkhidmatan itu pastinya kos perubatan yang rendah, sedangkan negara mempunyai kemudahan infrastruktur dan teknologi perubatan yang canggih selain faktor keamanan dan kestabilan politik.
   
Malah ada tinjauan luar negara yang mendapati Malaysia menawarkan pelbagai prosedur jantung bermutu tinggi tetapi dengan kos 10 kali ganda lebih murah berbanding Amerika Syarikat.
   
Warga Indonesia adalah pecahan pelancong asing yang paling ramai mengguna perkhidmatan perubatan dan kesihatan di negara ini diikuti negara Arab.
   
Usaha Melaka, misalnya, yang aktif melakukan pelbagai promosi untuk cabang itu dikira berjaya, memandangkan semakin ramai rakyat Indonesia mula mengalihkan perhatian mereka dari Singapura ke negeri itu bagi mendapatkan perkhidmatan hospital.
   
Data daripada Jabatan Ketua Menteri Melaka mendapati sepanjang tahun 2010 sahaja, sekitar 60 peratus daripada 280,000 pelancong Indonesia telah ke Melaka demi mendapatkan rawatan perubatan.
   
Negeri yang kaya dengan destinasi sejarah itu dianggap pilihan paling sesuai bagi warga Indonesia yang mahu membawa keluarga bercuti dan berhibur sambil mendapatkan rawatan.
   
Kuala Lumpur pula menjadi pilihan utama pelancong Arab iaitu pecahan warga asing kedua terbesar pengguna perkhidmatan perubatan negara.

PILIHAN DESTINASI

Menurut Pengarah Urusan rangkaian hospital swasta terbesar negara, KPJ Healthcare (KPJ), Datin Paduka Siti Sa’adiah Sheikh Bakir, populasi dari negara Arab membentuk lapan peratus daripada keseluruhan pengguna warga asing.
   
"Kebanyakan pesakit warganegara asing memilih Malaysia untuk menjalani prosedur perubatan elektif terutama rawatan kanser, orthopedik dan kosmetik," katanya selepas melancarkan karnival Hari Komuniti Arab di Hospital KPJ Tawakal baru-baru ini.
   
Menyedari pelancong Arab gemar memilih Malaysia sebagai destinasi rehat dan membeli-belah, Siti Sa’adiah merasakan bahawa sudah tiba masanya untuk Malaysia mempromosikan cabang pelancongan perubatan dengan lebih agresif.
   
"KPJ sebenarnya telah giat mempromosikan perkhidmatan kami kepada komuniti Arab sejak lebih 10 tahun lepas walapun kami sedar ketika itu mereka lebih gemar memilih Eropah bagi mendapatkan perkhidmatan ini," katanya.
   
Yakin bahawa komuniti Arab akan terus menjadi penyumbang utama kepada pendapatan kumpulan, KPJ bekerjasama dengan syarikat penerbitan utama Arab, Aswaq, untuk menganjurkan karnival itu yang khusus untuk memperkenalkan perkhidmatan mereka selain menjalin hubungan dan kerjasama ekonomi.
   
Antara tetamu utama yang diraikan ialah Setiausaha Pertama Kedutaan Diraja Arab Saudi, Moharib Ibrahim Al Moharib dan Penasihat Majlis Kesatuan Ekonomi Arab, Dr Mahmoud Al-Musafer.
   
"Rangkaian hospital KPJ di kawasan Lembah Klang akan terus menjadi pilihan utama komuniti Arab yang selesa dengan perkhidmatan terbaik bercirikan Islam dan bersesuaian dengan budaya mereka," jelas Siti Sa’adiah.
   
Tambahan pula, KPJ mempunyai pengalaman meluas dalam menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat Arab memandangkan mereka pernah diberi mandat menguruskan sebuah hospital di Jeddah selama beberapa tahun.

PENGALAMAN LUAS
 
Sejak ditubuhkan pada 30 tahun lepas, KPJ terus menjanjikan perkhidmatan penjagaan kesihatan dengan kemudahan dan teknologi terbaik yang diberi oleh para pegawai berpengalaman.
   
Siti Saa’diah memberi jaminan bahawa kakitangan KPJ yang menjangkau angka 10,000 orang mempunyai tahap professional yang tinggi dan amat prihatin dalam menyediakan perkhidmatan terbaik untuk pelanggan.
   
"Selain 860 pakar perubatan pelbagai bidang yang berada di bawah kumpulan kami, kami juga berusaha memujuk lebih ramai pakar yang menetap di luar negara agar kembali ke tanah air untuk berkhidmat.
   
"Ini adalah antara langkah dalam usaha kami menyediakan kualiti perkhidmatan klinikal yang sama tanding dengan mana-mana hospital di dunia," tegasnya.
   
KPJ kini mempunyai 21 buah hospital di seluruh negara dan dua di Indonesia.
      
MELEBARKAN SAYAP
 
Rangkaian hospital KPJ yang terkini telah dibuka pada Mei baru-baru ini iaitu Hospital Pakar Klang yang mampu memuatkan 200 katil pesakit.
   
Untuk tempoh empat tahun akan datang, KPJ akan melabur RM867 juta bagi membangunkan enam hospital baru iaitu Hospital Pakar Sabah, Hospital Pakar Pasir Gudang, Hospital Pakar KPJ Pahang,

NEXT

BACK