Lindungi Si Kecil ~ Keperluan wajib bukan pilihan |
Kerusi kanak-kanak mestilah menepati piawaian antarabangsa untuk pemasangan dalam kenderaan |
24-08-2018 |
Banyak kes kemalangan berlaku setiap tahun membabitkan bayi dan kanak-kanak meninggal dunia akibat tercampak keluar dari kenderaan. Semua kecelakaan jalan raya ini dikatakan terjadi kerana anak kecil ini didukung atau dipegang ibu bapa dan tidak diletakkan di kerusi keselamatan kanak-kanak. Apabila kenderaan dibrek mengejut atau terbabit dengan perlanggaran, risiko untuk bayi atau kanak-kanak tercampak keluar kenderaan adalah besar. Paling tidak kemungkinan kepala bayi terhantuk pada papan pemuka atau tempat duduk hadapan, yang kedua-duanya bukan saja menyebabkan risiko kecederaan, bahkan kehilangan nyawa. Bagi ibu bapa kerusi keselamatan kanak-kanak adalah aksesori penting yang perlu ada dalam setiap kenderaan. Namun ramai ibu bapa memandang ringan kerana beranggapan si kecil lebih selesa dalam pangkuan ibu di sebelah. Penulis berpeluang bertanyakan pendapat beberapa ibu mengenai keengganan mereka menggunakan kerusi keselamatan kenderaan ini antara alasan diberi adalah anak tidak mahu duduk dan menangis sepanjang perjalanan. Daripada membiarkan si kecil meraung ibu beralah lalu memangku atau membiarkan anak dipegang penumpang lain. Bagi suri rumah pula kerusi keselamatan bayi dan kanak-kanak agak mahal harganya. Mereka berpendapat untuk apa membazir kerana suami sentiasa menemani isteri keluar sekiranya ada perkara penting yang memerlukan bayi dibawa bersama. Tidak kurang pula memberikan alasan ruang kereta menjadi sempit sekiranya kerusi keselamatan ini diletakkan sepanjang masa terutama bagi yang memiliki jenis kereta kompak. Lebih malang apabila ada ibu bapa memilih tempat duduk atau tilam khas yang dijual menerusi dalam talian kerana menganggap anak mereka mampu tidur lena dan duduk lebih selesa sepanjang perjalanan. Bagi ibu bapa yang mementingkan keselamatan anak, tempat duduk bayi adalah keperluan wajib dan bukannya pilihan. Jangan nanti akibat keengganan ibu bapa dan ceteknya pemikiran menyebabkan ada ibu bapa menangis kemudian hari kerana kehilangan anak tersayang. Wajibkan kerusi keselamatan Kebanyakan negara di Eropah mewajibkan ibu bapa meletakkan anak mereka di kerusi keselamatan bayi dan kanak-kanak atau berdepan tindakan undang-undang. Jerman misalnya, menguatkuasakan undang-undang apabila mewajibkan kanak-kanak di bawah usia 12 tahun dan dengan ketinggian kurang 1.5 meter diletakkan di kerusi keselamatan. Kanak-kanak juga dilarang duduk di tempat duduk penumpang hadapan tanpa menggunakan kerusi khas yang termaktub dalam undang-undang di negara itu. Begitu juga di Perancis, kanak-kanak di bawah usia 10 tahun tidak dibenarkan duduk di bahagian hadapan ketika kenderaan bergerak, manakala bayi berusia bawah sembilan bulan dengan berat kurang sembilan kilogram perlu diletakkan di kerusi khas bayi di tempat duduk belakang dan menghadap ke belakang. Malah ada hospital di negara luar yang akan memastikan kenderaan ibu bapa mempunyai kerusi keselamatan sebelum membawa bayi mereka pulang ke rumah. Jika tidak, bayi tidak dibenarkan keluar hospital. Begitu juga dengan Korea Selatan yang mengenakan syarat ketat ke atas kenderaan keluarga mempunyai anak kecil. Semuanya dilakukan demi menjaga keselamatan si kecil. Ia juga secara tidak langsung menunjukkan hak keselamatan anak diberi keutamaan. Di Malaysia peraturan sebegini belum dilaksanakan namun amat penting setiap ibu bapa mempunyai kesedaran bagi melindungi keselamatan bayi mereka kerana kemalangan tidak berbau dan boleh berlaku di mana saja. Bagi memberikan kesedaran kepada ibu bapa mengenai pentingnya memiliki kerusi keselamatan bayi, Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri melalui kelas keibubapaan bersama butik kelengkapan bayi dan kanak-kanak, Tateh mengadakan bengkel khas mengenai kepentingan menggunakan kerusi keselamatan bayi kepada ibu bapa yang bakal menimang cahaya mata. Menurut Pengasas Tateh Siti Shafurah Abas, apa yang ingin diberi penekanan dalam bengkel ini adalah mengenai teknik pemilihan dan pemasangan kerusi keselamatan dengan betul. “Walaupun wujud kesedaran dalam kalangan ibu bapa untuk memiliki kerusi keselamatan bayi dan kanak-kanak, cara kerusi dipasang adalah salah dan tidak membantu melindungi si kecil daripada kemalangan. “Ada juga menyangka penggunaan kerusi ini untuk bayi berusia tiga bulan ke atas saja. Sebenarnya bayi perlu diletakkan di dalam kerusi ini seawal mungkin, iaitu sebaik saja dibenarkan keluar dari hospital sehingga berusia 12 tahun,” katanya. Menjelaskan lebih lanjut menurut Siti Shafurah, kerusi kanak-kanak terbaik mestilah mempunyai kemampuan untuk dipasang dengan kemas di dalam kereta. Dengan kata lain ia mesti menepati piawaian ISOFIX (piawai antarabangsa untuk pemasangan tempat duduk kanak-kanak dalam kenderaan). Selain itu ia biasanya mempunyai pemegang |